..

Sunday, September 14, 2014

CERPEN



PERJUANGAN ANAK DESA
          Kok…kerek…kooooooo. Kokokan Si Merah, ayam jantan peliharaan Mak Milah pagi itu, mengejutkan Zack daripada lena yang panjang dan tenang. Zack bangun, mengatur langkah ke arah jendela rumah usang itu. Melihatkan dada langit yang masih belum memperlihatkan warnanya, Zack membuat konklusi sendiri; pasti baru sekitar jam 5.30 pagi. Dalam keheningan dan kedamaian pagi itu, Zack terdengar bunyi sudip ibunya di dapur, sedang sibuk menyediakan sarapan pagi.  Aroma sambal goreng menusuk ke rongga hidung Zack. Sambal goreng yang menjadi kegemaran Zack. Zack menebar  pandangan ke segenap ruang di rumah itu. Hanya sebuah almari buruk menjadi perabot di rumah itu. Sebuah cermin lusuh yang retak tergantung di dinding. Di atas almari, terhias dengan bunga kertas gubahan tangan seni  ibunya, yang mungkin sudah berusia hampir separuh dekad. Warnanya kian pudar. Di satu sudut pula, terlipat kemas tikar mengkuang yang menjadi alas tidur Zack saban malam. Pelita ayam, semakin suram kerdipnya, menanti saat kelam. Si Merah berkokok lagi. Zack tersentak.
‘Ah! Terlalu lama lamunan hatiku sesaat tadi!’ Zack bermadah tanpa suara. Lantas, dia mula menuruni tangga kayu untuk membersihkan diri.Tangga yang dipijak sudah seusang teratak tua itu. Di kaki tangga sudah penuh dengan rumput-rumput renek serta lumut, menjadi penghias kayu usang yang semakin dimamah usia itu.
                Zack mula mengatur langkah, menyusuri batas-batas padi menuju ke anak sungai di belakang rumahnya. Dengan hanya berselimutkan kain batik lusuh ibunya, Zack menahan dirinya daripada dijilat salju bayu pagi. Titis-titis embun jantan membasahi kaki Zack yang tidak berselipar. Zack sudah biasa begitu. Itulah hidupnya, dan dia akur dengan aturan Tuhan. Sawah padi di pagi itu, masih samar daripada pandangan mata Zack. Sawah itulah sumber rezeki Zack  sekeluarga. Zack tunduk ke bawah, melihat padi yang kian masak dan hampir dituai. Zack senyum sendiri. Puas.
                “Tak lama lagi, bermulalah musim menuai padi, maknanya bermulalah juga musim memintas puyuh” bicara hatinya. 
                Beberapa langkah akhir kakinya, membawa Zack ke pinggiran sungai, sungai yang sekian lama menjadi ‘kamar mandi’ buatnya. Semenjak 15 tahun dahulu lagi. Sungai itu masih ‘suci’, belum tercemar dek kerakusan manusia. Belum ternoda dek pesatnya teknologi. Suci dan tenang. Sesuci dan setenang hati pengunjungnya. Di pinggir sungai itu, terhias indah dengan flora-flora ciptaan Tuhan, yang pasti memukau setiap mata yang memandang. Di kawasan itu jugalah fauna-fauna menumpang sedikit ruang, berteduh daripada hujan dan panas. Hening pagi itu membawa bersamanya melodi sang burung, menambahkan lagi indahnya alam. Zack menarik nafas dalam-dalam. Kesegaran alam meresap jauh, jauh ke dalam jiwa Zack, melekakan Zack buat sesaat. Dia teringat sejambak puisi yang dibacakan gurunya sewaktu di kelas,
Dalam jauh sebuah perjalanan, Tuhan amanahkan sebuah perjuangan..
terimalah dengan kekuatan... terkadang sakit yang mendatang..
terkadang teman tak sehaluan.. terkadang cemerlang tak kesampaian..
namun.. kita perlu gah di sisi Tuhan untuk meneruskan perjuangan..
            Kata-kata itu jugalah yang menjadi penguat semangat Zack selama ini. Menjadi tonggak kepada azam yang kian utuh.
Zack mula memberus gigi, menggunakan sabut kelapa yang diambil petang kelmarin. Gigi Zack tak pernah kenal berus gigi dan tak pernah merasai perasa ubat gigi. Semua itu asing buat gigi Zack. Wang untuk ubat dan berus gigi amat bernilai buat keluarga Zack.  Zack tetap bersyukur dengan apa yang ada. Setelah selesai memberus gigi Zack membuka balutan kain batik di badannya dan menyangkutnya di dahan pohon jambu yang merendang ke arah sungai. Angin pagi mula mengambil peluang menyapa tubuh kecil Zack. Zack sedikit menggigil. Namun, bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Lima belas tahun melewati liku hidup yang sama, Zack sudah kalis merasai suasana sedemikian. Perlahan-lahan Zack membasahkan dirinya dengan air sungai yang ternyata umpama salji membekukan seluruh tubuhnya di hening pagi itu.
‘Bedeburr!!’ kedengaran kocakan air sungai saat tubuh genit Zack mengganggu ketenangan air sungai pada pagi itu. Dua tiga kali Zack menenggelam timbul dirinya.Tiada sabun sebagai pewangi. Zack hanya mampu membersihkan diri seadanya. Kedaifan keluarganya menjadikan Zack tidak mampu bersabun. Namun, Zack tidak pernah membantah. Apa yang ada sudah cukup bagi dirinya.
                Selesai membersihkan diri, Zack mula naik ke pinggir sungai. Tubuhnya mula menggigil. Ditarik kain batik lusuh ibunya lantas tubuh kerdil itu dibalut cepat-cepat. Terasa sedikit kehangatan. Dengan kaki yang menggigil kedinginan Zack mengatur langkah menuju ke rumah. Angin pagi masih tidak jemu-jemu  menyapu nakal batang tubuh Zack. Dingin dan segar.
               
                Di rumah, Zack mula menyiapkan diri untuk ke sekolah. Mengenakan kemeja putih dan berseluar hijau sebagai pakaian seragam yang diambil dari bawah bantal. Ibu Zack sengaja meletakkan pakaian seragamnya di bawah bantal, sebagai pengganti seterika agar pakaiannya tetap kelihatan kemas. Biarpun pakaian putihnya sudah berubah warna menjadi kekuningan, Zack tidak pernah merungut, meminta dibelikan pakaian baru. Kerana Zack sedar, ibu dan bapanya tidak mampu memenuhi semua itu. Zack akur akan takdir Ilahi yang mengatur kehidupan keluarganya.
                “Zack, mari sarapan,” suara Mak Milah lembut menyapa cuping telinga Zack. Mak Milah sentiasa berusaha menyediakan sarapan buat keluarganya biarpun serba kekurangan. Dari sudut almari lusuh tempat Zack berdiri saat ini, jelas terpapar sebening wajah tua, dihiasi garis-garis lesu. Jelas sekali wajah itu menabir sejuta rahsia. Zack kerling bapanya, Pak Aziz yang sedang bersiap-siap untuk ke sawah, mengerah keringat tua untuk menyantap sesuap nasi.
                “Kejap, mak. Zack sedang bersiap ni, nanti Zack datang,” balas Zack. Seketika kemudian Zack mengatur langkah ke arah dapur usang itu. Dapur yang penuh dengan abu hasil pembakaran kayu sebagai sumber api. Itu sahaja yang mampu Pak Aziz sediakan untuk isteri tersayangnya. Ia tak mampu membeli dapur gas. Mak Milah tetap bersyukur dengan apa yang disediakan oleh suaminya. Yang penting baginya adalah kebahagiaan.  Zack bersila bersama-sama ibu dan ayahnya, mengaminkan doa dan mula menyuap juadah di pagi hari. Seperti biasa, santapan Zack setiap hari hanyalah sambal lada goreng dan ikan masin yang sekali sekali diganti dengan telur rebus ayam kampung. Itu pun Zack sudah bersyukur benar. Dia tidak pernah meminta yang bukan-bukan. Juadah sebegitu sudah begitu enak dan mewah buatnya.
               
Usai menikmati juadah sarapan pagi,Zack menyalami ibu dan ayahnya sebelum ke sekolah. Saat suasana masih lagi samar-samar tanah, Zack menyorong basikal tua yang menjadi kenderaannya untuk ke sekolah. Basikal itu terlalu tinggi bagi diri Zack. Namun hanya itu yang dia ada, itu pun sudah beberapa generasi. Jarak rumah Zack ke sekolah sejauh 7 kilometer cukup memaksa Zack keluar awal pagi lagi. Zack mula menyusur jalan yang tidak berturap. Kadangkala Zack terpaksa menyorong basikalnya apabila tiba di kawasan yang berpasir . Kadang-kadang Zack terpaksa berhenti untuk membaiki basikalnya yang meragam. Sememangnya, tidak mudah bagi Zack untuk tiba ke sekolah se awal pagi. Zack tetap tabah menempuh rutin hariannya. Setiba di sekolah Zack mengambil masa menyapu kasut getah putihnya yang bertukar warna menjadi merah dek laluan jalan merah yang diharunginya. Cebisan batek buruk Ibunya menjadi mangsa sebagai penyapu. Hanya embun pagi sebagai pembasah kain.
               
                Di kelas, Zack tidak banyak bicara. Zack menempatkan diri di barisan hadapan, mudah baginya untuk memahami apa yang diajar.
                ‘Krrrrriiiiinggg!!!’
                Suasana gamat menggambarkan situasi waktu rehat. Namun Zack masih lagi kaku di tempat duduknya.Seorang rakannya menghampiri Zack.
                “Zack,kenapa tak keluar lagi.Sekarang dah waktu rehatlah,” ujar rakannya.
                “Tak apa. Saya masih kenyang,” Zack menjawab sambil melontar segulung senyuman. Setelah agak lama menatap wajah Zack dan pasti Zack tidak akan keluar, rakannya mula menapak ke kantin untuk mengalas perut.
                “Kriuuukk” perut Zack berbunyi, minta diisi.
                “Hai perut, sabarlah. Balik ke rumah nanti kita makanlah,” seakan berbicara dengan sesuatu yang memahami madahnya, Zack bermonolog.
                Setelah tamat waktu rehat, pembelajaran bermula seperti biasa.Tiba-tiba…
                “Saya mengganggu pembelajaran kamu seketika. Kenapa tidak seorang pun pelajar dari kelas kamu yang menghantar jawapan soalan kuiz matematik minggu lepas?” soal Cikgu Mokhtar, guru yang bertugas menguruskan kuiz matematik.
                “Tapi cikgu, soalan yang diberi itu kami belum belajar lagi cikgu, guru kami tidak masuk ke kelas sudah hampir seminggu,” terang Azizah, ketua tingkatan 3 Emas. Zack hanya membekukan diri di bangkunya.Cikgu Mokhtar beredar ke bilik guru. Murid-murid tingkatan 3 Emas masih lagi tertanya-tanya. Takut bercampur tidak tahu apa yang akan berlaku. Selang beberapa minit kemudian, muncul Cikgu Hussin dengan wajah sedikit mengelirukan memasuki kelas 3 Emas. “Semua bangun” suara garau Cikgu Hussin mengejutkan semua pelajar 3 Emas. Tiba-tiba, Cikgu Hussin terus mengetuk kepala Zack, yang kebetulan berada di depannya. Zack terduduk di kerusi. Zack terasa kepalanya berpusing-pusing. Zack kebingungan dan tidak mampu bersuara. Terasa berpinar-pinar seketika. Terasa seakan syiling kelas jatuh menimpanya.
                “Kenapa kamu semua belum menghantar jawapan bagi soalan kuiz minggu lepas?” dengan mata yang mencerlung, Cikgu Hussin bertanya kepada semua murid 3 Emas yang masih setia berdiri kecuali Zack. Sememangnya Cikgu Hussin terkenal dengan sikap panas barannya.


Dengan suara yang tergagap-gagap, antara dengar dan tidak ketua kelas memberi penjelasan.
“Ta..tapi cikgu, ka..kami be..belum belajar topik itu lagi,” mata Azizah terarah ke lantai, tidak mampu ia beradu pandangan dengan Cikgu Hussin. Sedangkan Zack, masih terjelepok di sisi meja, biarpun matanya terus berkedip. Mulai detik itulah, Zack mula menyemai benih, mencambah azam, untuk terus tekun mendalami ilmu matematik. Zack berjanji pada dirinya, suatu hari nanti, dia akan menggenggam segulung ijazah dalam bidang Matematk. Itulah janjinya Zack pada dirinya.

                Zack mengelek buku latihan dan menyelitkan sebatang pensil di telinganya. Dengan hanya berseluar trek dan berbaju kemeja lusuh, Zack menyusuri bendang. Tertangkap di pandangannya, Mek Tom yang sedang sibuk memacakkan orang-orang di tengah sawah bagi menghalau beburung daripada mencuri padinya.
                “Nak ke mana, Zack? Siap dengan buku sekali tu. Rajin betul kamu,” sapa Mek Tom ramah. Kain batik yang menjadi tudung tersimpul kemas di kepalanya. Sesekali Mek Tom menyapu renik-renik peluh yang terbit di wajah tuanya.
                “Jaga lembu, Mek Tom. Sambil-sambil bagi lembu makan, sambil-sambil belajar,” jawab Zack sopan. Memang itulah rutin harian Zack setelah pulang dari sekolah. Dia terpaksa menjaga lembu ayahnya di sawah. Mustahil bagi Zack untuk menelaah pelajaran di rumah. Sudahnya dia terpaksa membawa sedikit sebanyak lembaran ilmu sebagai penemannya di bendang. Kelalaian Zack menjaga lembu-lembu peliharaannya, menandakan habuan yang tak sepadan akan diterima daripada ayahnya.
                “Buat apa susah-susah belajar ilmu dunia tu, Zack. Paling tidak pun nanti semua anak kampung ni jadi petani, nelayan dan paling tinggi pun ustaz. Jadi buang masa saja kamu belajar penat-penat,” ujar Mek Tom lancar. Benar juga kata Mek Tom, tiada seorang pun anak kampungnya yang menjawat jawatan kerajaan setakat ini. Semuanya bertani atau menangkap ikan.
Sememangnya begitulah pemikiran Mek Tom, malah boleh dikatakan pemikiran seluruh penduduk desa itu,termasuk ibu dan ayah Zack. Mereka hanya memikirkan soal akhirat, tidak pernah peduli tentang ilmu dunia yang kian penting saban hari. Minda mereka masih di takuk lama, masih beku daripada sinaran teknologi, masih belum berkembang mekar. Namun, itulah juga yang menjadi pembakar semangat Zack untuk mengubah haluan melangkah ke hadapan, mencari kerdip cahaya bagi membuka episod baru bagi penduduk desa terpencil itu.
                “Tak apalah Mek Tom. Lagipun SRP tak lama lagi dah,” jawab Zack seraya meneruskan hayunan kakinya menuju ke pinggir sebatang pohon Guchil, tempat dia menghabiskan waktu senja menjaga lembu-lembu ayahnya. Zack melabuhkan punggungnya dan mula membelek lembaran ilmu di hadapannya. Dia akhirnya hanyut dan tenggelam dibawa bait-bait kata intelek itu.
                “Kalau kau berani kejarlah,” Udin tergelak melihat Zack terkial-kial mengelakkan biji buah mata ayam tembakannya. Zack tergelak sama.
                “Kau nak main-main dengan aku ya,” Zack mengejar Udin. Sudahnya,kedua-dua mereka tenggelam dalam keheningan senja.
Saat mentari mula mengundur diri, melabuhkan tirai untuk berganti waktu dengan si rembulan, mereka berdua terduduk di perdu Guchil. Masing-masing menghela nafas, menikmati keindahan dada langit yang mempamerkan warna bak biji delima. Kaki mereka kelihatan comot bersalut selut. Namun,senyum mekar tetap terhias di wajah masing-masing. Tiba-tiba…
“Eh, Udin! Aku kena balik dulu. Nanti ayah aku bising pula,” tanpa menanti bicara lanjut daripada Udin, Zack berlari mendapatkan lembu-lembunya sambil mengelek buku lantas mengarahkan kaki ke rumah.

“Pergi mandi! Dah dekat nak azan baru tahu nak balik! Lepas mandi pergi ke surau,” seperti yang telah Zack jangkakan, ayahnya melenting. Tidak pasal-pasal betis keringnya menjadi mangsa batang lidi. Sememangnya ayah Zack amat menitikberatkan soal agama.Pantang baginya kalau Zack mengabaikan kewajipan pada Yang Esa. Biarpun terasa perit di betisnya, tidak pula terlintas di benak Zack untuk melawan bicara ayahnya. Perlahan-lahan ia beredar untuk membersihkan diri.
Usai bersiap, Zack berjalan beriringan dengan ayahnya, menuju ke surau yang hanya terletak lebih kurang 20 meter dari rumahnya. Kelihatan ramai penduduk kampung mula memenuhi ruang surau itu. Zack dan ayahnya terus mengatur langkah melewati anak tangga dan mengambil tempat di saf hadapan.

Peperiksaan SRP sudah sampai pada hari terakhir.Zack menarik nafas lega.
“Dua jam lagi merdekalah kita, ya,” ujar salah seorang rakan Zack, Razak.
“Ah! Aku dah tak sabar nak tunggu pengawas tu cakap ‘Baik,masa menjawab sudah tamat’. Masa tu akulah manusia paling bahagia,” ujar yang seorang lagi.
“Banyak la kau punya bahagia. Baik kau study sikit. Lagi 15 minit kita dah nak kena masuk tau. Ni kan kertas terakhir. ” Zack bersuara.
“Yelah, pakcik. Kau kan dah tahu, aku paling tak suka mata pelajaran sains. Apa kata orang putih tu, I don’t like it. Cewah, pandai tak aku,” rakannya menghentikan jenaka pendek seketika tadi. Zack hanya tersenyum. Temannya yang seorang ini memang lucu orangnya.
Lima belas minit kemudian, semua calon SRP diarahkan masuk ke dewan. Zack dan rakan-rakannya yang lain mula mengatur tapak. Dalam dewan Zack menjawab soalan-soalan itu dengan tekun, menanam sejuta harapan di dalamnya. Bagi Zack, ini kertas terakhir. Perlu disempurnakan sebaik mungkin.

“Calon-calon boleh berhenti menjawab. Masa telah tamat,” lontaran suara daripada ketua pengawas merenyukkan bingkai angan yang dihias Zack sejak tadi. Pengawas-pengawas mula memungut kertas jawapan. Zack tidak putus-putus memanjatkan doa agar apa yang dijawab dapat menghias indah lembaran keputusannya kelak.
Semua calon dibenarkan keluar dewan. Masing-masing mempamerkan wajah lega dan gembira. Hanya beberapa orang daripada mereka sahaja yang menayangkan wajah sugul. Seakan tidak berpuas hati dengan apa yang telah dijawab. Tanpa banyak madah, Zack mendapatkan bukunya di bawah pohon bidara lalu mengarahkan kaki ke laluan biasa untuk ke rumah.

Lembaran kertas kajang itu hampir dua helai sudah selesai dicoret dengan tinta pena Zack. Sudah hampir dua jam juga Zack menghabiskan masa di sini, di pinggiran pantai, beralaskan pasir putih gebu dan ditemani melodi debur ombak yang menderu. Bayu laut yang berpuput sepoi-sepoi bahasa membawa bersama nostalgia silam. Satu demi satu lembaran kamus hidupnya diselak kembali. Teringat dua tahun yang lalu, dia dan ibunya bersama-sama mencari kepah di pantai ini. Satu ketika, dia dan rakan-rakannya mandi –manda di pantai ini. Dihiasi gelak tawa. Betapa nikmatnya! Zack mendongak, merenung dada langit yang luas terbentang. Mentari di rembang senja sememangnya indah. Lantas, Zack kutip bait-bait kata yang pernah dikarangnya.
Hidup ini umpama mentari, Saat ia terang, seakan tiada noktah hitam;
Namun pabila tiba saat ia kelam, Kerdip seakan menghilang diri.
“Zack, buat apa kat sini sorang-sorang?” sapa Miah, teman baik Zack sejak kecil. Dari tadi lagi dia memerhatikan Zack dari balik pepohon yang tumbuh sekitar pantai itu. Zack kerling Miah seketika. Petang itu Miah ayu mengenakan baju kurung hijau berbunga kuning. Tudungnya yang agak labuh terbuai-buai disapa angin di lembayung senja itu.
“Tak ada apalah. Saja isi masa lapang, tulis-tulis puisi,” jawab Zack tenang sambil menyuakan helaian kertas kajang yang sedari tadi berada di ribaannya. Miah sambut helaian itu dan mula tenggelam dalam kepuitisan bait-bait puisi Zack. Sememangnya dia amat gemar dengan puisi-puisi yang Zack hasilkan sejak sekian lama. Zack kembali merenung nun jauh ke tengah lautan. Laut yang menjadi lubuk rezeki bagi sesetengah penduduk di desa itu. Kelihatan di sudut barat laut, mentari semakin silu. Nampaknya malam semakin mendekat. Zack bangun, dibuntuti oleh Miah. Kemilau air laut yang disimbah sinar lembayung senja itu ditinggalkan bersama sejuta harapan.
“Jom kita lumba, siapa sampai ke rumah dulu, dia menang. Siapa kalah kena belanja aiskrim,boleh?” usul Zack.
“Boleh je. Dah tentu Miah yang menang nanti,” setuju Miah.
“Okey, saya kira sampai tiga kita lumba, ya. Satu.. Dua.. Ti..,” belum sempat Zack menghabiskan kiraannya, Miah sudah memulakan larian. Zack mengejar dalam tawa. Kedua-dua mereka akhirnya berkejaran pulang ke rumah dengan tawa yang mengiringi setiap jejak.

Pagi itu, Zack tersentak daripada tidur. Masih terlalu awal untuk bangun. Keadaan di luar masih lagi gelap. Namun, hambatan  mimpi sebentar tadi benar-benar mengganggu lenanya. Akhirnya Zack bangun, menuju ke tingkap. Suasana rumah yang kelam, yang hanya diterangi dengan sinaran pelita ayam, memberi peluang kepada sang rembulan untuk mempamerkan keindahannya.
“Wah, cantiknya!” bicara hati Zack tanpa kata. Taburan bintang yang melingkari rembulan begitu indah di mata Zack. Benarlah kata orang tua-tua; bagai bulan dipagar bintang; perumpamaan yang diberikan untuk gadis yang cantik. Memang benar, secantik rembulan di malam hari.
Zack melemparkan pandangannya ke bawah. Si Merah masih lagi terkatup matanya. Belum mahu memulakan tugas mengejutkan seisi rumah itu. Kesunyian yang melingkari Zack membawa kembali igauan semalam. Dalam tidurnya, Zack didatangi seorang lelaki tua, berserban dan berjubah putih. Janggutnya tidak berapa panjang, hanya separas lehernya sahaja. Lelaki itu memberi pesan kepadanya. Katanya, bawalah haluan mengikut arus bicara hati. Usah diikut madah daripada bibir yang lain. Nescaya Zack mampu mengubah hidup. Zack kurang mengerti maksudnya. Namun diiyakan juga bicara lelaki itu. Serentak itu juga Zack tersedar. Puas Zack mencongak jawapan, mencari solusi kepada bait-bait kata yang penuh makna itu. Akhirnya, Zack mengambil langkah hanya mengunci diri.
“Mungkin mainan tidur,” benak Zack melontar pendapat. Dalam keasyikan melayan mindanya, Zack tersentak dengan tepukan di bahu kirinya. Seraya itu Zack memalingkan muka. Mencari gerangan empunya laku. Terjengul wajah ayahnya di sisi. Zack urut dada sendiri. Bibirnya beristighfar.
“Awal bangun Zack,” sapa ayahnya.
“Tak boleh tidur, ayah,” jawab Zack.
“Kenapa?” ayah Zack tidak mahu beralah lagi. Soalan dilontar menyambung bicara.
“Mimpi,” ujar Zack sepatah.
“Mimpi tu mainan tidur, Zack. Usah difikirkan sangat. Nanti tak terbuat semua kerja kamu hari ni,” kata ayahnya lagi. Sekaligus melegakan hati Zack yang sejak tadi gundah.
‘Ya! Hanya mainan tidur!’
Akhirnya Zack menapak perlahan, menuju ke sungai untuk membersihkan diri. Sebentar lagi rutinnya akan bermula. Membantu ayahnya di sawah.

“Zack, cepatlah! Kita dah lewat ni,” laung Miah lembut. Zack tergesa-gesa memakai selipar. Seterusnya mendapatkan basikal tuanya.
“Jom-jom. Dah pukul berapa dah ni,” ujar Zack sambil terus mengayuh basikal yang ternyata terlampau besar buat dirinya. Basikal Raleigh buatan England itu telah banyak berjasa buat kelluarganya.
Miah membuntuti dengan kayuhan yang sama lajunya. Hari ini keputusan SRP diumumkan. Semua pelajar tingkatan tiga terkejar-kejar ke sekolah. Hari penuh debaran buat mereka.

Tiba di sekolah, sudah ramai pelajar yang tiba. Ada yang berwajah gembira, ada yang sugul, ada juga yang seakan terawang-awang. Zack dan Miah menuntun basikal mereka ke arah garaj berdekatan. Setelah memastikan basikal berada dalam keadaan baik, mereka berlari-lari mendapatkan rakan masing-masing. Miah terus mendapatkan Siah, teman dekatnya di kelas. Sementara Zack,melilaukan mata mencari rakan sekelasnya. Dia tidak sekelas dengan Miah. Retina Zack akhirnya dapat menangkap kelibat Azizah, ketua kelasnya. Tanpa membuang masa, Zack mendapatkan Azizah.
“Keputusan dah keluar ke?” tanya Zack memulakan bicara.
“Belum. Lagi 10 minit katanya,” jawab Azizah. Zack angguk tanda mengerti.

Sepuluh minit kemudian, semua pelajar mengerumuni papan kenyataan, ingin mengetahui keputusan peperiksaan SRP masing-masing. Zack yang bertubuh kecil seringkali tertolak ke belakang, didorong oleh mereka yang lebih besar. Namun Zack keraskan jua langkah kakinya menyelinap dicelahan rakan-rakan. Akhirnya Zack berada di barisan paling hadapan. Dia melilaukan mata,mencari-cari namanya.
1.. 2.. 3.. Mata Zack terus melilau membuntuti patah-patah kata yang ditaip. Akhirnya Zack menemui barisan namanya. Hampir melompat Zack melihat keputusannya.
10 agregat! Sukar dipercayai! Zack seakan-akan tidak mahu percaya. Ditenung senarai itu berulang kali. Sah! Memang sah! Dengan hati yang bercampur baur, gembira, sedih, seronok dan sayu Zack keluar dari kelompok pelajar yang berasak-asak itu. Baru beberapa langkah tiba-tiba Zack terdengar suara.
“Tahniah, Zack! Keputusan kamu sekaligus meletakkan nama kamu dalam senarai sepuluh pelajar terbaik sekolah,” ujar Cikgu Ghazali, bekas penyelia petang semasa Zack tingkatan 1 dulu. Cikgu yang telah banyak membimbing dan mendorong Zack untuk terus belajar. Zack tidak mampu melontar bicara, hanya ucapan ringkas “terima kasih cikgu” yang mampu Zack lontarkan. Tenyata, usahanya selama ini membuahkan hasil lumayan.
Sedetik berlalu, baru Zack teringatkan Miah. Lantas matanya melilau mencar-cari kelibat Miah. Tertancap pada pandangannya figura Miah di bawah rimbunan pohon bidara. Mukanya sedikit keruh. Zack mengatur tapak mendekati.
“Macamana keputusan awak?” tanya Zack. Namun, Miah tetap tunduk, kakinya menguis-nguis tanah.
“Erm,saya tak bijak macam awak. Keputusan saya tak sebaik awak. Tapi, takpelah. Saya tak kisah. Oh,ya! Tahniah buat awak. Sepuluh pelajar terbaik tu. Bangga saya dapat jadi kawan awak,” Miah mula mendongak, matanya bertembung dengan mata Zack. Ada manik-manik jernih yang menjadi takungan di pelupuk matanya, menanti saat untuk gugur. Namun, senyum tak lekang dari bibirnya, memaksa diri bergembira.
“Terima kasih. Tapi, janganlah cakap macam tu. Awak masih boleh naik tingkatan empat kan. Masih ada masa lagi untuk awak berjaya. Sudah, jangan menangis,” pujuk Zack. Miah segera menyapu manik-manik yang mulai meleraikan diri ke atas pipi gebu miliknya. Dia cuba ketawa. Tidak mahu mengecewakan sahabat baik sekampungnya yang sentiasa bersama semenjak di sekolah rendah lagi.
“Jom, kita balik,” ajak Miah. Zack hanya mengangguk. Mereka berdua mula melangkah ke garaj, menyorong basikal dan menuju ke rumah masing-masing.

Mak Milah dan Pak Aziz masih lagi di tengah sawah saat Zack tiba di rumah. Zack memarkirkan basikalnya di batang kelapa dan berlari-lari ke tengah bendang sambil mengenggam keputusan peperiksaannya.
“Mak!... Mak!... Ayah!...Zack dapat 10 agregat!” laung Zack sambil terus menyusuri batas padi. Padahal, dia sedia maklum, apalah yang difahami oleh kedua-dua orang tuanya mengenai pembelajaran di sekolah. Mak milah dan Pak Cik Aziz tak pernah mengerti apa itu 10 agregat. Zack berhenti di hadapan ibunya, yang menangguhkan kerja buat sesaat untuk melayan kerenah anak bongsunya. Lantas Zack menyuakan keputusan peperiksaan ke tangan ibunya.
“Tengok, mak…ayah. Zack dapat keputusan cemerlang. Tersenarai dalam sepuluh pelajar cemerlang di sekolah, mak….ayah,” cerita Zack, ingin menjentik perasaan bangga dalam diri si ibu terhadap anaknya. Pak Aziz turut tidak mahu ketinggalan. Perlahan-lahan kaki tua itu melangkah mendekati dua beranak yang dari tadi riang bercerita.
“Bagus, nak. Mak bangga dengan kamu,” bicara Mak Milah diiringi titis-titis mutiara kebanggaan.
“Mak, janganlah menangis,” ujar Zack pula.
“Entahnya awak ni. Si Zack ni bukan main lagi bawa balik keputusan cemerlang. Awak menangis pula,” kata Pak Aziz dalam tawa. Ketiga-tiga mereka tertawa bahagia. Fikiran Pak Aziz menerawang jauh, mengenangkan abang-abang dan kakak-kakak Zack yang terkandas di tengah jalan. Hanya Zack yang berjaya. Zack lah yang menjadi harapannya.
Hari itu, mereka pulang awal. Mak Milah ingin memasakkan masakan kegemaran Zack, gulai lemak ikan haruan bercampur daun kadok. Semua itu sempena kejayaan Zack.

Malam sudah larut benar. Namun mata Zack seakan-akan terpaku. Tiada kantuk yang bertandang. Ibu dan ayahnya di sudut bertentangan juga masih belum tidur. Mereka tidak sedar yang Zack juga belum melelapkan mata. Dalam nada bisikan, mereka berbicara tentang Zack.
“Dari mana agaknya kita nak cari duit, kalau Zack minta untuk sambung belajar di sekolah lain,” kedengaran sayup-sayup suara Pak Aziz ditelan keheningan malam.
“Entahlah. Saya pun ada terfikir juga tadi. Nak halang dia daripada pergi, tak tergamak pula saya. Kesian kat dia, penat-penat belajar. Mesti nak juga si Zack tu rasa belajar kat tempat baru,” Mak Milah mengiyakan.
“Tak mengapalah, nanti bila Zack minta nak pergi mana-mana nanti, kita pejam mata je sekejap. Kita kerja kuat sikit. Duit yang saya simpan sikit ada rasanya dalam tin kat dapur tu. Bolehlah buat penguat.  Saya pun tak sampai hati nak lukakan hati dia,” ujar Pak Aziz lagi.
“Sudahlah, bang. Mari kita tidur. Esok kita kena kerja. Nanti terlewat bangun pula,” akhirnya kedua-dua orang tua Zack tenggelam dalam buaian mimpi masing-masing. Tinggal Zack seorang sahaja yang masih terkebil-kebil, mencongak kembali bicara kedua-dua orang tuanya seminit tadi. Seakan berkecai angannya seketika. Di luar cahaya bulan terang benderang menerangi alam.

Pagi itu Zack ke sekolah lagi. Bersama-sama dengan Razak, salah seorang pelajar yang turut tersenarai dalam senarai sepuluh pelajar terbaik. Hari ini Cikgu Ghazali memanggil semua pelajar terbaik ke sekolah. Ada berita gembira katanya.
Tiba di sekolah, Azizah, Hussin,  Nori, Ozmin dan Zulkifli antara sepuloh pelajar terbaik sudah sedia menunggu di bawah garaj. Dua minit kemudian, semua pelajar yang dijemput tiba. Masing-masing menunggu Cikgu Ghazali. Sambil-sambil menunggu, benak masing-masing tidak leka daripada membuat perhitungan sendiri. Masing-masing tertanya-tanya apakah berita gembira yang bakal dikhabarkan nanti.
“Sila ikut saya ke pejabat,” arah Cikgu Ghazali.

Di pejabat, Cikgu Ghazali mengambil beberapa pucuk surat, tertera nama pelajar-pelajar terbaik SMKDBW. Tiba giliran Zack, dia mengambil surat itu dan merenungnya lama-lama. Surat tawaran! Sampul dikoyak. Perlahan-lahan dengan penuh debaran lipatan kertas biru itu dibuka.

TAHNIAH! ANDA DITERIMA MASUK KE SEKOLAH MENENGAH TEKNIK LARKIN JOHOR BHARU. BUTIR-BUTIR PENDAFTARAN DAN DOKUMEN-DOKUMEN YANG MESTI DIBAWA ADALAH SEPERTI BERIKUT…

Selang beberapa hari dan tempoh waktu melapor diri kian tiba. Bait-bait kata yang tersusun di hamparan kertas biru yang masih keras itu seakan menjadi ceraian-ceraian kata dalam minda Zack. Di petang yang hening ditepi padang bola sekolah, Zack menapak perlahan ke arah banjaran pohon rhu, tempat dia dan rakan-rakannya menghabiskan waktu bersama sebelum memulakan permainan bola sepak. Satu-satunya permainan kegemaran Zack.  Zack terduduk di perdu salah satu pohon rhu itu. Tiga orang rakan sekelasnya semakin menghampiri. Zack tidak ambil peduli. Dengan jemari halusnya dilipat kertas itu kepada dua, dikoyak. Dilipat lagi menjadi empat, enam, lapan. Akhirnya menjadi cebisan-cebisan kecil. Zack melemparkan cebisan kertas biru itu ke udara, membiarkan cebisan-cebisan itu jatuh sendiri ditiup angin. Rakan-rakannya yang lain menghampiri.
“ Zack, kau dapat tawaran ke man….” belum sempat Ozmin menghabiskan bicaranya, matanya terpaku pada cebisan-cebisan kertas biru yang bertaburan di atas rumput.
“Zack? Kenapa?” tanya Zaidi. Namun, bibir Zack masih kaku mengatur kata. Hanya air jernih meniti di kelopak matanya.
“Zack. Jangan buat macam ni. Jangan buat kami risau,” Hussin turut serta menyampuk.
“Kenapa kau koyak surat ni? Kau tak nak pergi ke?” bicara Ozmin tidak teratur. Namun,Zack tetap membisu sejuta kata. Angin mula menampar lembut wajahnya. Membawa bersama sejuta harapan Zack yang tidak kesampaian. Guguran dedaun rhu yang runcing menghanyutkan lagi Zack dengan dunia ciptaannya. Membiarkan persoalan tiga rakannya tergantung tanpa jawapan. Hanya dia mengerti. Mengerti akan ranjau kehidupannya. Zack akur akan takdir. Zack tak ingin lagi menambah beban emak dan ayahnya. Zack pasrah segalanya. Petang itu Zack tidak bersama kawan-kawan menyepak bola di padang. Zack mencoret sesuatu di sampul surat tawaran ke sekolah teknik yang sudah tiada isinya.

Harapan itu Merupakan mimpi yang tak pernah tidur..
Selagi bergelar harapan, Ia akan tetap mekar..
Hingga tiba saatnya Harapan bercambah menjadi cita
Yang pasti bisa digapai Satu ketika nanti…

Zack nekad akan meneruskan perjuangannya walau di mana ia berada. Zack akan buktikan bahawa ia mampu berjaya seperti rakan-rakannya yang lain. Rakan-rakan yang akan meninggalkannya untuk belajar di tempat baru.