
PERJUANGAN
ANAK DESA
Kok…kerek…kooooooo.
Kokokan Si Merah, ayam jantan peliharaan Mak Milah pagi itu, mengejutkan Zack
daripada lena yang panjang dan tenang. Zack bangun, mengatur langkah ke arah
jendela rumah usang itu. Melihatkan dada langit yang masih belum memperlihatkan
warnanya, Zack membuat konklusi sendiri; pasti baru sekitar jam 5.30 pagi. Dalam
keheningan dan kedamaian pagi itu, Zack terdengar bunyi sudip ibunya di dapur, sedang
sibuk menyediakan sarapan pagi. Aroma
sambal goreng menusuk ke rongga hidung Zack. Sambal goreng yang menjadi
kegemaran Zack. Zack menebar pandangan
ke segenap ruang di rumah itu. Hanya sebuah almari buruk menjadi perabot di
rumah itu. Sebuah cermin lusuh yang retak tergantung di dinding. Di atas
almari, terhias dengan bunga kertas gubahan tangan seni ibunya, yang mungkin sudah berusia hampir
separuh dekad. Warnanya kian pudar. Di satu sudut pula, terlipat kemas tikar
mengkuang yang menjadi alas tidur Zack saban malam. Pelita ayam, semakin suram
kerdipnya, menanti saat kelam. Si Merah berkokok lagi. Zack tersentak.
‘Ah! Terlalu lama lamunan hatiku
sesaat tadi!’ Zack bermadah tanpa suara. Lantas, dia mula menuruni tangga kayu
untuk membersihkan diri.Tangga yang dipijak sudah seusang teratak tua itu. Di
kaki tangga sudah penuh dengan rumput-rumput renek serta lumut, menjadi
penghias kayu usang yang semakin dimamah usia itu.
Zack
mula mengatur langkah, menyusuri batas-batas padi menuju ke anak sungai di
belakang rumahnya. Dengan hanya berselimutkan kain batik lusuh ibunya, Zack
menahan dirinya daripada dijilat salju bayu pagi. Titis-titis embun jantan
membasahi kaki Zack yang tidak berselipar. Zack sudah biasa begitu. Itulah
hidupnya, dan dia akur dengan aturan Tuhan. Sawah padi di pagi itu, masih samar
daripada pandangan mata Zack. Sawah itulah sumber rezeki Zack sekeluarga. Zack tunduk ke bawah, melihat
padi yang kian masak dan hampir dituai. Zack senyum sendiri. Puas.
“Tak
lama lagi, bermulalah musim menuai padi, maknanya bermulalah juga musim
memintas puyuh” bicara hatinya.
Beberapa
langkah akhir kakinya, membawa Zack ke pinggiran sungai, sungai yang sekian
lama menjadi ‘kamar mandi’ buatnya. Semenjak 15 tahun dahulu lagi. Sungai itu
masih ‘suci’, belum tercemar dek kerakusan manusia. Belum ternoda dek pesatnya teknologi.
Suci dan tenang. Sesuci dan setenang hati pengunjungnya. Di pinggir sungai itu,
terhias indah dengan flora-flora ciptaan Tuhan, yang pasti memukau setiap mata
yang memandang. Di kawasan itu jugalah fauna-fauna menumpang sedikit ruang, berteduh
daripada hujan dan panas. Hening pagi itu membawa bersamanya melodi sang
burung, menambahkan lagi indahnya alam. Zack menarik nafas dalam-dalam. Kesegaran
alam meresap jauh, jauh ke dalam jiwa Zack, melekakan Zack buat sesaat. Dia
teringat sejambak puisi yang dibacakan gurunya sewaktu di kelas,
Dalam
jauh sebuah perjalanan, Tuhan amanahkan sebuah perjuangan..
terimalah dengan kekuatan... terkadang sakit yang mendatang..
terkadang teman tak sehaluan.. terkadang cemerlang tak kesampaian..
namun.. kita perlu gah di sisi Tuhan untuk meneruskan perjuangan..
terimalah dengan kekuatan... terkadang sakit yang mendatang..
terkadang teman tak sehaluan.. terkadang cemerlang tak kesampaian..
namun.. kita perlu gah di sisi Tuhan untuk meneruskan perjuangan..
Kata-kata itu jugalah yang
menjadi penguat semangat Zack selama ini. Menjadi tonggak kepada azam yang kian
utuh.
Zack mula memberus gigi, menggunakan
sabut kelapa yang diambil petang kelmarin. Gigi Zack tak pernah kenal berus
gigi dan tak pernah merasai perasa ubat gigi. Semua itu asing buat gigi Zack.
Wang untuk ubat dan berus gigi amat bernilai buat keluarga Zack. Zack tetap bersyukur dengan apa yang ada.
Setelah selesai memberus gigi Zack membuka balutan kain batik di badannya dan
menyangkutnya di dahan pohon jambu yang merendang ke arah sungai. Angin pagi
mula mengambil peluang menyapa tubuh kecil Zack. Zack sedikit menggigil. Namun,
bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Lima belas tahun melewati liku hidup
yang sama, Zack sudah kalis merasai
suasana sedemikian. Perlahan-lahan Zack membasahkan dirinya dengan air sungai
yang ternyata umpama salji membekukan seluruh tubuhnya di hening pagi itu.
‘Bedeburr!!’ kedengaran kocakan air
sungai saat tubuh genit Zack mengganggu ketenangan air sungai pada pagi itu. Dua
tiga kali Zack menenggelam timbul dirinya.Tiada sabun sebagai pewangi. Zack
hanya mampu membersihkan diri seadanya. Kedaifan keluarganya menjadikan Zack
tidak mampu bersabun. Namun, Zack tidak pernah membantah. Apa yang ada sudah
cukup bagi dirinya.
Selesai
membersihkan diri, Zack mula naik ke pinggir sungai. Tubuhnya mula menggigil. Ditarik
kain batik lusuh ibunya lantas tubuh kerdil itu dibalut cepat-cepat. Terasa
sedikit kehangatan. Dengan kaki yang menggigil kedinginan Zack mengatur langkah
menuju ke rumah. Angin pagi masih tidak jemu-jemu menyapu nakal batang tubuh Zack. Dingin dan
segar.
Di
rumah, Zack mula menyiapkan diri untuk ke sekolah. Mengenakan kemeja putih dan
berseluar hijau sebagai pakaian seragam yang diambil dari bawah bantal. Ibu Zack
sengaja meletakkan pakaian seragamnya di bawah bantal, sebagai pengganti
seterika agar pakaiannya tetap kelihatan kemas. Biarpun pakaian putihnya sudah
berubah warna menjadi kekuningan, Zack tidak pernah merungut, meminta dibelikan
pakaian baru. Kerana Zack sedar, ibu dan bapanya tidak mampu memenuhi semua itu.
Zack akur akan takdir Ilahi yang mengatur kehidupan keluarganya.
“Zack,
mari sarapan,” suara Mak Milah lembut menyapa cuping telinga Zack. Mak Milah
sentiasa berusaha menyediakan sarapan buat keluarganya biarpun serba
kekurangan. Dari sudut almari lusuh tempat Zack berdiri saat ini, jelas
terpapar sebening wajah tua, dihiasi garis-garis lesu. Jelas sekali wajah itu
menabir sejuta rahsia. Zack kerling bapanya, Pak Aziz yang sedang bersiap-siap
untuk ke sawah, mengerah keringat tua untuk menyantap sesuap nasi.
“Kejap,
mak. Zack sedang bersiap ni, nanti Zack datang,” balas Zack. Seketika kemudian
Zack mengatur langkah ke arah dapur usang itu. Dapur yang penuh dengan abu
hasil pembakaran kayu sebagai sumber api. Itu sahaja yang mampu Pak Aziz
sediakan untuk isteri tersayangnya. Ia tak mampu membeli dapur gas. Mak Milah
tetap bersyukur dengan apa yang disediakan oleh suaminya. Yang penting baginya
adalah kebahagiaan. Zack bersila
bersama-sama ibu dan ayahnya, mengaminkan doa dan mula menyuap juadah di pagi
hari. Seperti biasa, santapan Zack setiap hari hanyalah sambal lada goreng dan
ikan masin yang sekali sekali diganti dengan telur rebus ayam kampung. Itu pun
Zack sudah bersyukur benar. Dia tidak pernah meminta yang bukan-bukan. Juadah
sebegitu sudah begitu enak dan mewah buatnya.
Usai menikmati juadah sarapan
pagi,Zack menyalami ibu dan ayahnya sebelum ke sekolah. Saat suasana masih lagi
samar-samar tanah, Zack menyorong basikal tua yang menjadi kenderaannya untuk
ke sekolah. Basikal itu terlalu tinggi bagi diri Zack. Namun hanya itu yang dia
ada, itu pun sudah beberapa generasi. Jarak rumah Zack ke sekolah sejauh 7
kilometer cukup memaksa Zack keluar awal pagi lagi. Zack mula menyusur jalan
yang tidak berturap. Kadangkala Zack terpaksa menyorong basikalnya apabila tiba
di kawasan yang berpasir . Kadang-kadang Zack terpaksa berhenti untuk membaiki
basikalnya yang meragam. Sememangnya, tidak mudah bagi Zack untuk tiba ke
sekolah se awal pagi. Zack tetap tabah menempuh rutin hariannya. Setiba di
sekolah Zack mengambil masa menyapu kasut getah putihnya yang bertukar warna
menjadi merah dek laluan jalan merah yang diharunginya. Cebisan batek buruk
Ibunya menjadi mangsa sebagai penyapu. Hanya embun pagi sebagai pembasah kain.
Di
kelas, Zack tidak banyak bicara. Zack menempatkan diri di barisan hadapan, mudah
baginya untuk memahami apa yang diajar.
‘Krrrrriiiiinggg!!!’
Suasana
gamat menggambarkan situasi waktu rehat. Namun Zack masih lagi kaku di tempat
duduknya.Seorang rakannya menghampiri Zack.
“Zack,kenapa
tak keluar lagi.Sekarang dah waktu rehatlah,” ujar rakannya.
“Tak
apa. Saya masih kenyang,” Zack menjawab sambil melontar segulung senyuman. Setelah
agak lama menatap wajah Zack dan pasti Zack tidak akan keluar, rakannya mula
menapak ke kantin untuk mengalas perut.
“Kriuuukk”
perut Zack berbunyi, minta diisi.
“Hai
perut, sabarlah. Balik ke rumah nanti kita makanlah,” seakan berbicara dengan
sesuatu yang memahami madahnya, Zack bermonolog.
Setelah
tamat waktu rehat, pembelajaran bermula seperti biasa.Tiba-tiba…
“Saya
mengganggu pembelajaran kamu seketika. Kenapa tidak seorang pun pelajar dari
kelas kamu yang menghantar jawapan soalan kuiz matematik minggu lepas?” soal
Cikgu Mokhtar, guru yang bertugas menguruskan kuiz matematik.
“Tapi
cikgu, soalan yang diberi itu kami belum belajar lagi cikgu, guru kami tidak
masuk ke kelas sudah hampir seminggu,” terang Azizah, ketua tingkatan 3 Emas. Zack
hanya membekukan diri di bangkunya.Cikgu Mokhtar beredar ke bilik guru. Murid-murid
tingkatan 3 Emas masih lagi tertanya-tanya. Takut bercampur tidak tahu apa yang
akan berlaku. Selang beberapa minit kemudian, muncul Cikgu Hussin dengan wajah
sedikit mengelirukan memasuki kelas 3 Emas. “Semua bangun” suara garau Cikgu Hussin
mengejutkan semua pelajar 3 Emas. Tiba-tiba, Cikgu Hussin terus mengetuk kepala
Zack, yang kebetulan berada di depannya. Zack terduduk di kerusi. Zack terasa kepalanya
berpusing-pusing. Zack kebingungan dan tidak mampu bersuara. Terasa
berpinar-pinar seketika. Terasa seakan syiling kelas jatuh menimpanya.
“Kenapa
kamu semua belum menghantar jawapan bagi soalan kuiz minggu lepas?” dengan mata
yang mencerlung, Cikgu Hussin bertanya kepada semua murid 3 Emas yang masih
setia berdiri kecuali Zack. Sememangnya Cikgu Hussin terkenal dengan sikap
panas barannya.
Dengan suara yang tergagap-gagap, antara dengar dan
tidak ketua kelas memberi penjelasan.
“Ta..tapi cikgu, ka..kami be..belum belajar topik itu
lagi,” mata Azizah terarah ke lantai, tidak mampu ia beradu pandangan dengan
Cikgu Hussin. Sedangkan Zack, masih terjelepok di sisi meja, biarpun matanya
terus berkedip. Mulai detik itulah, Zack mula menyemai benih, mencambah azam, untuk
terus tekun mendalami ilmu matematik. Zack berjanji pada dirinya, suatu hari
nanti, dia akan menggenggam segulung ijazah dalam bidang Matematk. Itulah
janjinya Zack pada dirinya.
Zack
mengelek buku latihan dan menyelitkan sebatang pensil di telinganya. Dengan
hanya berseluar trek dan berbaju kemeja lusuh, Zack menyusuri bendang. Tertangkap
di pandangannya, Mek Tom yang sedang sibuk memacakkan orang-orang di tengah
sawah bagi menghalau beburung daripada mencuri padinya.
“Nak
ke mana, Zack? Siap dengan buku sekali tu. Rajin betul kamu,” sapa Mek Tom
ramah. Kain batik yang menjadi tudung tersimpul kemas di kepalanya. Sesekali
Mek Tom menyapu renik-renik peluh yang terbit di wajah tuanya.
“Jaga
lembu, Mek Tom. Sambil-sambil bagi lembu makan, sambil-sambil belajar,” jawab
Zack sopan. Memang itulah rutin harian Zack setelah pulang dari sekolah. Dia
terpaksa menjaga lembu ayahnya di sawah. Mustahil bagi Zack untuk menelaah
pelajaran di rumah. Sudahnya dia terpaksa membawa sedikit sebanyak lembaran
ilmu sebagai penemannya di bendang. Kelalaian Zack menjaga lembu-lembu
peliharaannya, menandakan habuan yang tak sepadan akan diterima daripada
ayahnya.
“Buat
apa susah-susah belajar ilmu dunia tu, Zack. Paling tidak pun nanti semua anak
kampung ni jadi petani, nelayan dan paling tinggi pun ustaz. Jadi buang masa
saja kamu belajar penat-penat,” ujar Mek Tom lancar. Benar juga kata Mek Tom,
tiada seorang pun anak kampungnya yang menjawat jawatan kerajaan setakat ini.
Semuanya bertani atau menangkap ikan.
Sememangnya begitulah pemikiran Mek
Tom, malah boleh dikatakan pemikiran seluruh penduduk desa itu,termasuk ibu dan
ayah Zack. Mereka hanya memikirkan soal akhirat, tidak pernah peduli tentang
ilmu dunia yang kian penting saban hari. Minda mereka masih di takuk lama, masih
beku daripada sinaran teknologi, masih belum berkembang mekar. Namun, itulah
juga yang menjadi pembakar semangat Zack untuk mengubah haluan melangkah ke
hadapan, mencari kerdip cahaya bagi membuka episod baru bagi penduduk desa
terpencil itu.
“Tak
apalah Mek Tom. Lagipun SRP tak lama lagi dah,” jawab Zack seraya meneruskan
hayunan kakinya menuju ke pinggir sebatang pohon Guchil, tempat dia
menghabiskan waktu senja menjaga lembu-lembu ayahnya. Zack melabuhkan
punggungnya dan mula membelek lembaran ilmu di hadapannya. Dia akhirnya hanyut dan
tenggelam dibawa bait-bait kata intelek itu.
“Kalau
kau berani kejarlah,” Udin tergelak melihat Zack terkial-kial mengelakkan biji
buah mata ayam tembakannya. Zack tergelak sama.
“Kau
nak main-main dengan aku ya,” Zack mengejar Udin. Sudahnya,kedua-dua mereka
tenggelam dalam keheningan senja.
Saat mentari mula mengundur diri, melabuhkan
tirai untuk berganti waktu dengan si rembulan, mereka berdua terduduk di perdu Guchil.
Masing-masing menghela nafas, menikmati keindahan dada langit yang mempamerkan
warna bak biji delima. Kaki mereka kelihatan comot bersalut selut. Namun,senyum
mekar tetap terhias di wajah masing-masing. Tiba-tiba…
“Eh, Udin! Aku kena balik dulu. Nanti
ayah aku bising pula,” tanpa menanti bicara lanjut daripada Udin, Zack berlari
mendapatkan lembu-lembunya sambil mengelek buku lantas mengarahkan kaki ke
rumah.
“Pergi mandi! Dah dekat nak azan
baru tahu nak balik! Lepas mandi pergi ke surau,” seperti yang telah Zack
jangkakan, ayahnya melenting. Tidak pasal-pasal betis keringnya menjadi mangsa
batang lidi. Sememangnya ayah Zack amat menitikberatkan soal agama.Pantang
baginya kalau Zack mengabaikan kewajipan pada Yang Esa. Biarpun terasa perit di
betisnya, tidak pula terlintas di benak Zack untuk melawan bicara ayahnya. Perlahan-lahan
ia beredar untuk membersihkan diri.
Usai bersiap, Zack berjalan
beriringan dengan ayahnya, menuju ke surau yang hanya terletak lebih kurang 20 meter
dari rumahnya. Kelihatan ramai penduduk kampung mula memenuhi ruang surau itu. Zack
dan ayahnya terus mengatur langkah melewati anak tangga dan mengambil tempat di
saf hadapan.
Peperiksaan SRP sudah sampai pada
hari terakhir.Zack menarik nafas lega.
“Dua jam lagi merdekalah kita, ya,”
ujar salah seorang rakan Zack, Razak.
“Ah! Aku dah tak sabar nak tunggu
pengawas tu cakap ‘Baik,masa menjawab sudah tamat’. Masa tu akulah manusia
paling bahagia,” ujar yang seorang lagi.
“Banyak la kau punya bahagia. Baik
kau study sikit. Lagi 15 minit kita dah nak kena masuk tau. Ni kan kertas
terakhir. ” Zack bersuara.
“Yelah, pakcik. Kau kan dah tahu, aku
paling tak suka mata pelajaran sains. Apa kata orang putih tu, I don’t like it.
Cewah, pandai tak aku,” rakannya menghentikan jenaka pendek seketika tadi. Zack
hanya tersenyum. Temannya yang seorang ini memang lucu orangnya.
Lima belas minit kemudian, semua
calon SRP diarahkan masuk ke dewan. Zack dan rakan-rakannya yang lain mula
mengatur tapak. Dalam dewan Zack menjawab soalan-soalan itu dengan tekun, menanam
sejuta harapan di dalamnya. Bagi Zack, ini kertas terakhir. Perlu disempurnakan
sebaik mungkin.
“Calon-calon boleh berhenti
menjawab. Masa telah tamat,” lontaran suara daripada ketua pengawas merenyukkan
bingkai angan yang dihias Zack sejak tadi. Pengawas-pengawas mula memungut
kertas jawapan. Zack tidak putus-putus memanjatkan doa agar apa yang dijawab
dapat menghias indah lembaran keputusannya kelak.
Semua calon dibenarkan keluar dewan.
Masing-masing mempamerkan wajah lega dan gembira. Hanya beberapa orang daripada
mereka sahaja yang menayangkan wajah sugul. Seakan tidak berpuas hati dengan
apa yang telah dijawab. Tanpa banyak madah, Zack mendapatkan bukunya di bawah
pohon bidara lalu mengarahkan kaki ke laluan biasa untuk ke rumah.
Lembaran kertas kajang itu hampir
dua helai sudah selesai dicoret dengan tinta pena Zack. Sudah hampir dua jam
juga Zack menghabiskan masa di sini, di pinggiran pantai, beralaskan pasir
putih gebu dan ditemani melodi debur ombak yang menderu. Bayu laut yang
berpuput sepoi-sepoi bahasa membawa bersama nostalgia silam. Satu demi satu
lembaran kamus hidupnya diselak kembali. Teringat dua tahun yang lalu, dia dan
ibunya bersama-sama mencari kepah di pantai ini. Satu ketika, dia dan
rakan-rakannya mandi –manda di pantai ini. Dihiasi gelak tawa. Betapa
nikmatnya! Zack mendongak, merenung dada langit yang luas terbentang. Mentari
di rembang senja sememangnya indah. Lantas, Zack kutip bait-bait kata yang
pernah dikarangnya.
Hidup
ini umpama mentari, Saat ia terang, seakan tiada noktah hitam;
Namun pabila tiba saat ia kelam, Kerdip
seakan menghilang diri.
“Zack, buat apa kat sini
sorang-sorang?” sapa Miah, teman baik Zack sejak kecil. Dari tadi lagi dia
memerhatikan Zack dari balik pepohon yang tumbuh sekitar pantai itu. Zack
kerling Miah seketika. Petang itu Miah ayu mengenakan baju kurung hijau
berbunga kuning. Tudungnya yang agak labuh terbuai-buai disapa angin di
lembayung senja itu.
“Tak ada apalah. Saja isi masa
lapang, tulis-tulis puisi,” jawab Zack tenang sambil menyuakan helaian kertas
kajang yang sedari tadi berada di ribaannya. Miah sambut helaian itu dan mula
tenggelam dalam kepuitisan bait-bait puisi Zack. Sememangnya dia amat gemar
dengan puisi-puisi yang Zack hasilkan sejak sekian lama. Zack kembali merenung
nun jauh ke tengah lautan. Laut yang menjadi lubuk rezeki bagi sesetengah
penduduk di desa itu. Kelihatan di sudut barat laut, mentari semakin silu.
Nampaknya malam semakin mendekat. Zack bangun, dibuntuti oleh Miah. Kemilau air
laut yang disimbah sinar lembayung senja itu ditinggalkan bersama sejuta
harapan.
“Jom kita lumba, siapa sampai ke
rumah dulu, dia menang. Siapa kalah kena belanja aiskrim,boleh?” usul Zack.
“Boleh je. Dah tentu Miah yang
menang nanti,” setuju Miah.
“Okey, saya kira sampai tiga kita
lumba, ya. Satu.. Dua.. Ti..,” belum sempat Zack menghabiskan kiraannya, Miah
sudah memulakan larian. Zack mengejar dalam tawa. Kedua-dua mereka akhirnya
berkejaran pulang ke rumah dengan tawa yang mengiringi setiap jejak.
Pagi itu, Zack tersentak daripada
tidur. Masih terlalu awal untuk bangun. Keadaan di luar masih lagi gelap.
Namun, hambatan mimpi sebentar tadi
benar-benar mengganggu lenanya. Akhirnya Zack bangun, menuju ke tingkap.
Suasana rumah yang kelam, yang hanya diterangi dengan sinaran pelita ayam, memberi
peluang kepada sang rembulan untuk mempamerkan keindahannya.
“Wah, cantiknya!” bicara hati Zack
tanpa kata. Taburan bintang yang melingkari rembulan begitu indah di mata Zack.
Benarlah kata orang tua-tua; bagai bulan dipagar bintang; perumpamaan yang
diberikan untuk gadis yang cantik. Memang benar, secantik rembulan di malam
hari.
Zack melemparkan pandangannya ke
bawah. Si Merah masih lagi terkatup matanya. Belum mahu memulakan tugas
mengejutkan seisi rumah itu. Kesunyian yang melingkari Zack membawa kembali
igauan semalam. Dalam tidurnya, Zack didatangi seorang lelaki tua, berserban
dan berjubah putih. Janggutnya tidak berapa panjang, hanya separas lehernya
sahaja. Lelaki itu memberi pesan kepadanya. Katanya, bawalah haluan mengikut
arus bicara hati. Usah diikut madah daripada bibir yang lain. Nescaya Zack
mampu mengubah hidup. Zack kurang mengerti maksudnya. Namun diiyakan juga
bicara lelaki itu. Serentak itu juga Zack tersedar. Puas Zack mencongak
jawapan, mencari solusi kepada bait-bait kata yang penuh makna itu. Akhirnya, Zack
mengambil langkah hanya mengunci diri.
“Mungkin mainan tidur,” benak Zack
melontar pendapat. Dalam keasyikan melayan mindanya, Zack tersentak dengan
tepukan di bahu kirinya. Seraya itu Zack memalingkan muka. Mencari gerangan
empunya laku. Terjengul wajah ayahnya di sisi. Zack urut dada sendiri. Bibirnya
beristighfar.
“Awal bangun Zack,” sapa ayahnya.
“Tak boleh tidur, ayah,” jawab Zack.
“Kenapa?” ayah Zack tidak mahu
beralah lagi. Soalan dilontar menyambung bicara.
“Mimpi,” ujar Zack sepatah.
“Mimpi tu mainan tidur, Zack. Usah
difikirkan sangat. Nanti tak terbuat semua kerja kamu hari ni,” kata ayahnya
lagi. Sekaligus melegakan hati Zack yang sejak tadi gundah.
‘Ya! Hanya mainan tidur!’
Akhirnya Zack menapak perlahan, menuju
ke sungai untuk membersihkan diri. Sebentar lagi rutinnya akan bermula.
Membantu ayahnya di sawah.
“Zack, cepatlah! Kita dah lewat ni,”
laung Miah lembut. Zack tergesa-gesa memakai selipar. Seterusnya mendapatkan
basikal tuanya.
“Jom-jom. Dah pukul berapa dah ni,”
ujar Zack sambil terus mengayuh basikal yang ternyata terlampau besar buat dirinya.
Basikal Raleigh buatan England itu telah banyak berjasa buat kelluarganya.
Miah membuntuti dengan kayuhan yang
sama lajunya. Hari ini keputusan SRP diumumkan. Semua pelajar tingkatan tiga
terkejar-kejar ke sekolah. Hari penuh debaran buat mereka.
Tiba di sekolah, sudah ramai pelajar
yang tiba. Ada yang berwajah gembira, ada yang sugul, ada juga yang seakan
terawang-awang. Zack dan Miah menuntun basikal mereka ke arah garaj berdekatan.
Setelah memastikan basikal berada dalam keadaan baik, mereka berlari-lari
mendapatkan rakan masing-masing. Miah terus mendapatkan Siah, teman dekatnya di
kelas. Sementara Zack,melilaukan mata mencari rakan sekelasnya. Dia tidak
sekelas dengan Miah. Retina Zack akhirnya dapat menangkap kelibat Azizah, ketua
kelasnya. Tanpa membuang masa, Zack mendapatkan Azizah.
“Keputusan dah keluar ke?” tanya
Zack memulakan bicara.
“Belum. Lagi 10 minit katanya,”
jawab Azizah. Zack angguk tanda mengerti.
Sepuluh minit kemudian, semua
pelajar mengerumuni papan kenyataan, ingin mengetahui keputusan peperiksaan SRP
masing-masing. Zack yang bertubuh kecil seringkali tertolak ke belakang, didorong
oleh mereka yang lebih besar. Namun Zack keraskan jua langkah kakinya
menyelinap dicelahan rakan-rakan. Akhirnya Zack berada di barisan paling
hadapan. Dia melilaukan mata,mencari-cari namanya.
1.. 2.. 3.. Mata Zack terus melilau
membuntuti patah-patah kata yang ditaip. Akhirnya Zack menemui barisan namanya.
Hampir melompat Zack melihat keputusannya.
10 agregat! Sukar dipercayai! Zack
seakan-akan tidak mahu percaya. Ditenung senarai itu berulang kali. Sah! Memang
sah! Dengan hati yang bercampur baur, gembira, sedih, seronok dan sayu Zack keluar
dari kelompok pelajar yang berasak-asak itu. Baru beberapa langkah tiba-tiba
Zack terdengar suara.
“Tahniah, Zack! Keputusan kamu
sekaligus meletakkan nama kamu dalam senarai sepuluh pelajar terbaik sekolah,”
ujar Cikgu Ghazali, bekas penyelia petang semasa Zack tingkatan 1 dulu. Cikgu
yang telah banyak membimbing dan mendorong Zack untuk terus belajar. Zack tidak
mampu melontar bicara, hanya ucapan ringkas “terima kasih cikgu” yang mampu
Zack lontarkan. Tenyata, usahanya selama ini membuahkan hasil lumayan.
Sedetik berlalu, baru Zack
teringatkan Miah. Lantas matanya melilau mencar-cari kelibat Miah. Tertancap
pada pandangannya figura Miah di bawah rimbunan pohon bidara. Mukanya sedikit
keruh. Zack mengatur tapak mendekati.
“Macamana keputusan awak?” tanya
Zack. Namun, Miah tetap tunduk, kakinya menguis-nguis tanah.
“Erm,saya tak bijak macam awak. Keputusan
saya tak sebaik awak. Tapi, takpelah. Saya tak kisah. Oh,ya! Tahniah buat awak.
Sepuluh pelajar terbaik tu. Bangga saya dapat jadi kawan awak,” Miah mula
mendongak, matanya bertembung dengan mata Zack. Ada manik-manik jernih yang
menjadi takungan di pelupuk matanya, menanti saat untuk gugur. Namun, senyum
tak lekang dari bibirnya, memaksa diri bergembira.
“Terima kasih. Tapi, janganlah cakap
macam tu. Awak masih boleh naik tingkatan empat kan. Masih ada masa lagi untuk
awak berjaya. Sudah, jangan menangis,” pujuk Zack. Miah segera menyapu
manik-manik yang mulai meleraikan diri ke atas pipi gebu miliknya. Dia cuba
ketawa. Tidak mahu mengecewakan sahabat baik sekampungnya yang sentiasa bersama
semenjak di sekolah rendah lagi.
“Jom, kita balik,” ajak Miah. Zack
hanya mengangguk. Mereka berdua mula melangkah ke garaj, menyorong basikal dan
menuju ke rumah masing-masing.
Mak Milah dan Pak Aziz masih lagi di
tengah sawah saat Zack tiba di rumah. Zack memarkirkan basikalnya di batang
kelapa dan berlari-lari ke tengah bendang sambil mengenggam keputusan
peperiksaannya.
“Mak!... Mak!... Ayah!...Zack dapat
10 agregat!” laung Zack sambil terus menyusuri batas padi. Padahal, dia sedia
maklum, apalah yang difahami oleh kedua-dua orang tuanya mengenai pembelajaran
di sekolah. Mak milah dan Pak Cik Aziz tak pernah mengerti apa itu 10 agregat.
Zack berhenti di hadapan ibunya, yang menangguhkan kerja buat sesaat untuk
melayan kerenah anak bongsunya. Lantas Zack menyuakan keputusan peperiksaan ke
tangan ibunya.
“Tengok, mak…ayah. Zack dapat keputusan
cemerlang. Tersenarai dalam sepuluh pelajar cemerlang di sekolah, mak….ayah,”
cerita Zack, ingin menjentik perasaan bangga dalam diri si ibu terhadap
anaknya. Pak Aziz turut tidak mahu ketinggalan. Perlahan-lahan kaki tua itu
melangkah mendekati dua beranak yang dari tadi riang bercerita.
“Bagus, nak. Mak bangga dengan
kamu,” bicara Mak Milah diiringi titis-titis mutiara kebanggaan.
“Mak, janganlah menangis,” ujar Zack
pula.
“Entahnya awak ni. Si Zack ni bukan
main lagi bawa balik keputusan cemerlang. Awak menangis pula,” kata Pak Aziz
dalam tawa. Ketiga-tiga mereka tertawa bahagia. Fikiran Pak Aziz menerawang
jauh, mengenangkan abang-abang dan kakak-kakak Zack yang terkandas di tengah
jalan. Hanya Zack yang berjaya. Zack lah yang menjadi harapannya.
Hari itu, mereka pulang awal. Mak
Milah ingin memasakkan masakan kegemaran Zack, gulai lemak ikan haruan
bercampur daun kadok. Semua itu sempena kejayaan Zack.
Malam sudah larut benar. Namun mata
Zack seakan-akan terpaku. Tiada kantuk yang bertandang. Ibu dan ayahnya di
sudut bertentangan juga masih belum tidur. Mereka tidak sedar yang Zack juga
belum melelapkan mata. Dalam nada bisikan, mereka berbicara tentang Zack.
“Dari mana agaknya kita nak cari
duit, kalau Zack minta untuk sambung belajar di sekolah lain,” kedengaran
sayup-sayup suara Pak Aziz ditelan keheningan malam.
“Entahlah. Saya pun ada terfikir juga
tadi. Nak halang dia daripada pergi, tak tergamak pula saya. Kesian kat dia, penat-penat
belajar. Mesti nak juga si Zack tu rasa belajar kat tempat baru,” Mak Milah
mengiyakan.
“Tak mengapalah, nanti bila Zack
minta nak pergi mana-mana nanti, kita pejam mata je sekejap. Kita kerja kuat
sikit. Duit yang saya simpan sikit ada rasanya dalam tin kat dapur tu. Bolehlah
buat penguat. Saya pun tak sampai hati
nak lukakan hati dia,” ujar Pak Aziz lagi.
“Sudahlah, bang. Mari kita tidur.
Esok kita kena kerja. Nanti terlewat bangun pula,” akhirnya kedua-dua orang tua
Zack tenggelam dalam buaian mimpi masing-masing. Tinggal Zack seorang sahaja
yang masih terkebil-kebil, mencongak kembali bicara kedua-dua orang tuanya
seminit tadi. Seakan berkecai angannya seketika. Di luar cahaya bulan terang
benderang menerangi alam.
Pagi itu Zack ke sekolah lagi.
Bersama-sama dengan Razak, salah seorang pelajar yang turut tersenarai dalam
senarai sepuluh pelajar terbaik. Hari ini Cikgu Ghazali memanggil semua pelajar
terbaik ke sekolah. Ada berita gembira katanya.
Tiba di sekolah, Azizah, Hussin, Nori, Ozmin dan Zulkifli antara sepuloh
pelajar terbaik sudah sedia menunggu di bawah garaj. Dua minit kemudian, semua
pelajar yang dijemput tiba. Masing-masing menunggu Cikgu Ghazali. Sambil-sambil
menunggu, benak masing-masing tidak leka daripada membuat perhitungan sendiri.
Masing-masing tertanya-tanya apakah berita gembira yang bakal dikhabarkan
nanti.
“Sila ikut saya ke pejabat,” arah
Cikgu Ghazali.
Di pejabat, Cikgu Ghazali mengambil beberapa pucuk
surat, tertera nama pelajar-pelajar terbaik SMKDBW. Tiba giliran Zack, dia
mengambil surat itu dan merenungnya lama-lama. Surat tawaran! Sampul dikoyak.
Perlahan-lahan dengan penuh debaran lipatan kertas biru itu dibuka.
TAHNIAH! ANDA DITERIMA MASUK KE
SEKOLAH MENENGAH TEKNIK LARKIN JOHOR BHARU. BUTIR-BUTIR PENDAFTARAN DAN
DOKUMEN-DOKUMEN YANG MESTI DIBAWA ADALAH SEPERTI BERIKUT…
Selang beberapa hari dan tempoh
waktu melapor diri kian tiba. Bait-bait kata yang tersusun di hamparan kertas
biru yang masih keras itu seakan menjadi ceraian-ceraian kata dalam minda Zack.
Di petang yang hening ditepi padang bola sekolah, Zack menapak perlahan ke arah
banjaran pohon rhu, tempat dia dan rakan-rakannya menghabiskan waktu bersama
sebelum memulakan permainan bola sepak. Satu-satunya permainan kegemaran Zack. Zack terduduk di perdu salah satu pohon rhu itu.
Tiga orang rakan sekelasnya semakin menghampiri. Zack tidak ambil peduli. Dengan
jemari halusnya dilipat kertas itu kepada dua, dikoyak. Dilipat lagi menjadi
empat, enam, lapan. Akhirnya menjadi cebisan-cebisan kecil. Zack melemparkan
cebisan kertas biru itu ke udara, membiarkan cebisan-cebisan itu jatuh sendiri
ditiup angin. Rakan-rakannya yang lain menghampiri.
“ Zack, kau dapat tawaran ke man….”
belum sempat Ozmin menghabiskan bicaranya, matanya terpaku pada cebisan-cebisan
kertas biru yang bertaburan di atas rumput.
“Zack? Kenapa?” tanya Zaidi. Namun, bibir
Zack masih kaku mengatur kata. Hanya air jernih meniti di kelopak matanya.
“Zack. Jangan buat macam ni. Jangan
buat kami risau,” Hussin turut serta menyampuk.
“Kenapa kau koyak surat ni? Kau tak
nak pergi ke?” bicara Ozmin tidak teratur. Namun,Zack tetap membisu sejuta
kata. Angin mula menampar lembut wajahnya. Membawa bersama sejuta harapan Zack
yang tidak kesampaian. Guguran dedaun rhu yang runcing menghanyutkan lagi Zack
dengan dunia ciptaannya. Membiarkan persoalan tiga rakannya tergantung tanpa
jawapan. Hanya dia mengerti. Mengerti akan ranjau kehidupannya. Zack akur akan
takdir. Zack tak ingin lagi menambah beban emak dan ayahnya. Zack pasrah
segalanya. Petang itu Zack tidak bersama kawan-kawan menyepak bola di padang.
Zack mencoret sesuatu di sampul surat tawaran ke sekolah teknik yang sudah
tiada isinya.
Harapan itu Merupakan mimpi yang
tak pernah tidur..
Selagi bergelar harapan, Ia akan
tetap mekar..
Hingga tiba saatnya Harapan
bercambah menjadi cita
Yang pasti bisa digapai Satu
ketika nanti…
Zack nekad akan meneruskan perjuangannya walau di mana
ia berada. Zack akan buktikan bahawa ia mampu berjaya seperti rakan-rakannya
yang lain. Rakan-rakan yang akan meninggalkannya untuk belajar di tempat baru.