..

Sunday, September 14, 2014

CERPEN



PERJUANGAN ANAK DESA
          Kok…kerek…kooooooo. Kokokan Si Merah, ayam jantan peliharaan Mak Milah pagi itu, mengejutkan Zack daripada lena yang panjang dan tenang. Zack bangun, mengatur langkah ke arah jendela rumah usang itu. Melihatkan dada langit yang masih belum memperlihatkan warnanya, Zack membuat konklusi sendiri; pasti baru sekitar jam 5.30 pagi. Dalam keheningan dan kedamaian pagi itu, Zack terdengar bunyi sudip ibunya di dapur, sedang sibuk menyediakan sarapan pagi.  Aroma sambal goreng menusuk ke rongga hidung Zack. Sambal goreng yang menjadi kegemaran Zack. Zack menebar  pandangan ke segenap ruang di rumah itu. Hanya sebuah almari buruk menjadi perabot di rumah itu. Sebuah cermin lusuh yang retak tergantung di dinding. Di atas almari, terhias dengan bunga kertas gubahan tangan seni  ibunya, yang mungkin sudah berusia hampir separuh dekad. Warnanya kian pudar. Di satu sudut pula, terlipat kemas tikar mengkuang yang menjadi alas tidur Zack saban malam. Pelita ayam, semakin suram kerdipnya, menanti saat kelam. Si Merah berkokok lagi. Zack tersentak.
‘Ah! Terlalu lama lamunan hatiku sesaat tadi!’ Zack bermadah tanpa suara. Lantas, dia mula menuruni tangga kayu untuk membersihkan diri.Tangga yang dipijak sudah seusang teratak tua itu. Di kaki tangga sudah penuh dengan rumput-rumput renek serta lumut, menjadi penghias kayu usang yang semakin dimamah usia itu.
                Zack mula mengatur langkah, menyusuri batas-batas padi menuju ke anak sungai di belakang rumahnya. Dengan hanya berselimutkan kain batik lusuh ibunya, Zack menahan dirinya daripada dijilat salju bayu pagi. Titis-titis embun jantan membasahi kaki Zack yang tidak berselipar. Zack sudah biasa begitu. Itulah hidupnya, dan dia akur dengan aturan Tuhan. Sawah padi di pagi itu, masih samar daripada pandangan mata Zack. Sawah itulah sumber rezeki Zack  sekeluarga. Zack tunduk ke bawah, melihat padi yang kian masak dan hampir dituai. Zack senyum sendiri. Puas.
                “Tak lama lagi, bermulalah musim menuai padi, maknanya bermulalah juga musim memintas puyuh” bicara hatinya. 
                Beberapa langkah akhir kakinya, membawa Zack ke pinggiran sungai, sungai yang sekian lama menjadi ‘kamar mandi’ buatnya. Semenjak 15 tahun dahulu lagi. Sungai itu masih ‘suci’, belum tercemar dek kerakusan manusia. Belum ternoda dek pesatnya teknologi. Suci dan tenang. Sesuci dan setenang hati pengunjungnya. Di pinggir sungai itu, terhias indah dengan flora-flora ciptaan Tuhan, yang pasti memukau setiap mata yang memandang. Di kawasan itu jugalah fauna-fauna menumpang sedikit ruang, berteduh daripada hujan dan panas. Hening pagi itu membawa bersamanya melodi sang burung, menambahkan lagi indahnya alam. Zack menarik nafas dalam-dalam. Kesegaran alam meresap jauh, jauh ke dalam jiwa Zack, melekakan Zack buat sesaat. Dia teringat sejambak puisi yang dibacakan gurunya sewaktu di kelas,
Dalam jauh sebuah perjalanan, Tuhan amanahkan sebuah perjuangan..
terimalah dengan kekuatan... terkadang sakit yang mendatang..
terkadang teman tak sehaluan.. terkadang cemerlang tak kesampaian..
namun.. kita perlu gah di sisi Tuhan untuk meneruskan perjuangan..
            Kata-kata itu jugalah yang menjadi penguat semangat Zack selama ini. Menjadi tonggak kepada azam yang kian utuh.
Zack mula memberus gigi, menggunakan sabut kelapa yang diambil petang kelmarin. Gigi Zack tak pernah kenal berus gigi dan tak pernah merasai perasa ubat gigi. Semua itu asing buat gigi Zack. Wang untuk ubat dan berus gigi amat bernilai buat keluarga Zack.  Zack tetap bersyukur dengan apa yang ada. Setelah selesai memberus gigi Zack membuka balutan kain batik di badannya dan menyangkutnya di dahan pohon jambu yang merendang ke arah sungai. Angin pagi mula mengambil peluang menyapa tubuh kecil Zack. Zack sedikit menggigil. Namun, bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Lima belas tahun melewati liku hidup yang sama, Zack sudah kalis merasai suasana sedemikian. Perlahan-lahan Zack membasahkan dirinya dengan air sungai yang ternyata umpama salji membekukan seluruh tubuhnya di hening pagi itu.
‘Bedeburr!!’ kedengaran kocakan air sungai saat tubuh genit Zack mengganggu ketenangan air sungai pada pagi itu. Dua tiga kali Zack menenggelam timbul dirinya.Tiada sabun sebagai pewangi. Zack hanya mampu membersihkan diri seadanya. Kedaifan keluarganya menjadikan Zack tidak mampu bersabun. Namun, Zack tidak pernah membantah. Apa yang ada sudah cukup bagi dirinya.
                Selesai membersihkan diri, Zack mula naik ke pinggir sungai. Tubuhnya mula menggigil. Ditarik kain batik lusuh ibunya lantas tubuh kerdil itu dibalut cepat-cepat. Terasa sedikit kehangatan. Dengan kaki yang menggigil kedinginan Zack mengatur langkah menuju ke rumah. Angin pagi masih tidak jemu-jemu  menyapu nakal batang tubuh Zack. Dingin dan segar.
               
                Di rumah, Zack mula menyiapkan diri untuk ke sekolah. Mengenakan kemeja putih dan berseluar hijau sebagai pakaian seragam yang diambil dari bawah bantal. Ibu Zack sengaja meletakkan pakaian seragamnya di bawah bantal, sebagai pengganti seterika agar pakaiannya tetap kelihatan kemas. Biarpun pakaian putihnya sudah berubah warna menjadi kekuningan, Zack tidak pernah merungut, meminta dibelikan pakaian baru. Kerana Zack sedar, ibu dan bapanya tidak mampu memenuhi semua itu. Zack akur akan takdir Ilahi yang mengatur kehidupan keluarganya.
                “Zack, mari sarapan,” suara Mak Milah lembut menyapa cuping telinga Zack. Mak Milah sentiasa berusaha menyediakan sarapan buat keluarganya biarpun serba kekurangan. Dari sudut almari lusuh tempat Zack berdiri saat ini, jelas terpapar sebening wajah tua, dihiasi garis-garis lesu. Jelas sekali wajah itu menabir sejuta rahsia. Zack kerling bapanya, Pak Aziz yang sedang bersiap-siap untuk ke sawah, mengerah keringat tua untuk menyantap sesuap nasi.
                “Kejap, mak. Zack sedang bersiap ni, nanti Zack datang,” balas Zack. Seketika kemudian Zack mengatur langkah ke arah dapur usang itu. Dapur yang penuh dengan abu hasil pembakaran kayu sebagai sumber api. Itu sahaja yang mampu Pak Aziz sediakan untuk isteri tersayangnya. Ia tak mampu membeli dapur gas. Mak Milah tetap bersyukur dengan apa yang disediakan oleh suaminya. Yang penting baginya adalah kebahagiaan.  Zack bersila bersama-sama ibu dan ayahnya, mengaminkan doa dan mula menyuap juadah di pagi hari. Seperti biasa, santapan Zack setiap hari hanyalah sambal lada goreng dan ikan masin yang sekali sekali diganti dengan telur rebus ayam kampung. Itu pun Zack sudah bersyukur benar. Dia tidak pernah meminta yang bukan-bukan. Juadah sebegitu sudah begitu enak dan mewah buatnya.
               
Usai menikmati juadah sarapan pagi,Zack menyalami ibu dan ayahnya sebelum ke sekolah. Saat suasana masih lagi samar-samar tanah, Zack menyorong basikal tua yang menjadi kenderaannya untuk ke sekolah. Basikal itu terlalu tinggi bagi diri Zack. Namun hanya itu yang dia ada, itu pun sudah beberapa generasi. Jarak rumah Zack ke sekolah sejauh 7 kilometer cukup memaksa Zack keluar awal pagi lagi. Zack mula menyusur jalan yang tidak berturap. Kadangkala Zack terpaksa menyorong basikalnya apabila tiba di kawasan yang berpasir . Kadang-kadang Zack terpaksa berhenti untuk membaiki basikalnya yang meragam. Sememangnya, tidak mudah bagi Zack untuk tiba ke sekolah se awal pagi. Zack tetap tabah menempuh rutin hariannya. Setiba di sekolah Zack mengambil masa menyapu kasut getah putihnya yang bertukar warna menjadi merah dek laluan jalan merah yang diharunginya. Cebisan batek buruk Ibunya menjadi mangsa sebagai penyapu. Hanya embun pagi sebagai pembasah kain.
               
                Di kelas, Zack tidak banyak bicara. Zack menempatkan diri di barisan hadapan, mudah baginya untuk memahami apa yang diajar.
                ‘Krrrrriiiiinggg!!!’
                Suasana gamat menggambarkan situasi waktu rehat. Namun Zack masih lagi kaku di tempat duduknya.Seorang rakannya menghampiri Zack.
                “Zack,kenapa tak keluar lagi.Sekarang dah waktu rehatlah,” ujar rakannya.
                “Tak apa. Saya masih kenyang,” Zack menjawab sambil melontar segulung senyuman. Setelah agak lama menatap wajah Zack dan pasti Zack tidak akan keluar, rakannya mula menapak ke kantin untuk mengalas perut.
                “Kriuuukk” perut Zack berbunyi, minta diisi.
                “Hai perut, sabarlah. Balik ke rumah nanti kita makanlah,” seakan berbicara dengan sesuatu yang memahami madahnya, Zack bermonolog.
                Setelah tamat waktu rehat, pembelajaran bermula seperti biasa.Tiba-tiba…
                “Saya mengganggu pembelajaran kamu seketika. Kenapa tidak seorang pun pelajar dari kelas kamu yang menghantar jawapan soalan kuiz matematik minggu lepas?” soal Cikgu Mokhtar, guru yang bertugas menguruskan kuiz matematik.
                “Tapi cikgu, soalan yang diberi itu kami belum belajar lagi cikgu, guru kami tidak masuk ke kelas sudah hampir seminggu,” terang Azizah, ketua tingkatan 3 Emas. Zack hanya membekukan diri di bangkunya.Cikgu Mokhtar beredar ke bilik guru. Murid-murid tingkatan 3 Emas masih lagi tertanya-tanya. Takut bercampur tidak tahu apa yang akan berlaku. Selang beberapa minit kemudian, muncul Cikgu Hussin dengan wajah sedikit mengelirukan memasuki kelas 3 Emas. “Semua bangun” suara garau Cikgu Hussin mengejutkan semua pelajar 3 Emas. Tiba-tiba, Cikgu Hussin terus mengetuk kepala Zack, yang kebetulan berada di depannya. Zack terduduk di kerusi. Zack terasa kepalanya berpusing-pusing. Zack kebingungan dan tidak mampu bersuara. Terasa berpinar-pinar seketika. Terasa seakan syiling kelas jatuh menimpanya.
                “Kenapa kamu semua belum menghantar jawapan bagi soalan kuiz minggu lepas?” dengan mata yang mencerlung, Cikgu Hussin bertanya kepada semua murid 3 Emas yang masih setia berdiri kecuali Zack. Sememangnya Cikgu Hussin terkenal dengan sikap panas barannya.


Dengan suara yang tergagap-gagap, antara dengar dan tidak ketua kelas memberi penjelasan.
“Ta..tapi cikgu, ka..kami be..belum belajar topik itu lagi,” mata Azizah terarah ke lantai, tidak mampu ia beradu pandangan dengan Cikgu Hussin. Sedangkan Zack, masih terjelepok di sisi meja, biarpun matanya terus berkedip. Mulai detik itulah, Zack mula menyemai benih, mencambah azam, untuk terus tekun mendalami ilmu matematik. Zack berjanji pada dirinya, suatu hari nanti, dia akan menggenggam segulung ijazah dalam bidang Matematk. Itulah janjinya Zack pada dirinya.

                Zack mengelek buku latihan dan menyelitkan sebatang pensil di telinganya. Dengan hanya berseluar trek dan berbaju kemeja lusuh, Zack menyusuri bendang. Tertangkap di pandangannya, Mek Tom yang sedang sibuk memacakkan orang-orang di tengah sawah bagi menghalau beburung daripada mencuri padinya.
                “Nak ke mana, Zack? Siap dengan buku sekali tu. Rajin betul kamu,” sapa Mek Tom ramah. Kain batik yang menjadi tudung tersimpul kemas di kepalanya. Sesekali Mek Tom menyapu renik-renik peluh yang terbit di wajah tuanya.
                “Jaga lembu, Mek Tom. Sambil-sambil bagi lembu makan, sambil-sambil belajar,” jawab Zack sopan. Memang itulah rutin harian Zack setelah pulang dari sekolah. Dia terpaksa menjaga lembu ayahnya di sawah. Mustahil bagi Zack untuk menelaah pelajaran di rumah. Sudahnya dia terpaksa membawa sedikit sebanyak lembaran ilmu sebagai penemannya di bendang. Kelalaian Zack menjaga lembu-lembu peliharaannya, menandakan habuan yang tak sepadan akan diterima daripada ayahnya.
                “Buat apa susah-susah belajar ilmu dunia tu, Zack. Paling tidak pun nanti semua anak kampung ni jadi petani, nelayan dan paling tinggi pun ustaz. Jadi buang masa saja kamu belajar penat-penat,” ujar Mek Tom lancar. Benar juga kata Mek Tom, tiada seorang pun anak kampungnya yang menjawat jawatan kerajaan setakat ini. Semuanya bertani atau menangkap ikan.
Sememangnya begitulah pemikiran Mek Tom, malah boleh dikatakan pemikiran seluruh penduduk desa itu,termasuk ibu dan ayah Zack. Mereka hanya memikirkan soal akhirat, tidak pernah peduli tentang ilmu dunia yang kian penting saban hari. Minda mereka masih di takuk lama, masih beku daripada sinaran teknologi, masih belum berkembang mekar. Namun, itulah juga yang menjadi pembakar semangat Zack untuk mengubah haluan melangkah ke hadapan, mencari kerdip cahaya bagi membuka episod baru bagi penduduk desa terpencil itu.
                “Tak apalah Mek Tom. Lagipun SRP tak lama lagi dah,” jawab Zack seraya meneruskan hayunan kakinya menuju ke pinggir sebatang pohon Guchil, tempat dia menghabiskan waktu senja menjaga lembu-lembu ayahnya. Zack melabuhkan punggungnya dan mula membelek lembaran ilmu di hadapannya. Dia akhirnya hanyut dan tenggelam dibawa bait-bait kata intelek itu.
                “Kalau kau berani kejarlah,” Udin tergelak melihat Zack terkial-kial mengelakkan biji buah mata ayam tembakannya. Zack tergelak sama.
                “Kau nak main-main dengan aku ya,” Zack mengejar Udin. Sudahnya,kedua-dua mereka tenggelam dalam keheningan senja.
Saat mentari mula mengundur diri, melabuhkan tirai untuk berganti waktu dengan si rembulan, mereka berdua terduduk di perdu Guchil. Masing-masing menghela nafas, menikmati keindahan dada langit yang mempamerkan warna bak biji delima. Kaki mereka kelihatan comot bersalut selut. Namun,senyum mekar tetap terhias di wajah masing-masing. Tiba-tiba…
“Eh, Udin! Aku kena balik dulu. Nanti ayah aku bising pula,” tanpa menanti bicara lanjut daripada Udin, Zack berlari mendapatkan lembu-lembunya sambil mengelek buku lantas mengarahkan kaki ke rumah.

“Pergi mandi! Dah dekat nak azan baru tahu nak balik! Lepas mandi pergi ke surau,” seperti yang telah Zack jangkakan, ayahnya melenting. Tidak pasal-pasal betis keringnya menjadi mangsa batang lidi. Sememangnya ayah Zack amat menitikberatkan soal agama.Pantang baginya kalau Zack mengabaikan kewajipan pada Yang Esa. Biarpun terasa perit di betisnya, tidak pula terlintas di benak Zack untuk melawan bicara ayahnya. Perlahan-lahan ia beredar untuk membersihkan diri.
Usai bersiap, Zack berjalan beriringan dengan ayahnya, menuju ke surau yang hanya terletak lebih kurang 20 meter dari rumahnya. Kelihatan ramai penduduk kampung mula memenuhi ruang surau itu. Zack dan ayahnya terus mengatur langkah melewati anak tangga dan mengambil tempat di saf hadapan.

Peperiksaan SRP sudah sampai pada hari terakhir.Zack menarik nafas lega.
“Dua jam lagi merdekalah kita, ya,” ujar salah seorang rakan Zack, Razak.
“Ah! Aku dah tak sabar nak tunggu pengawas tu cakap ‘Baik,masa menjawab sudah tamat’. Masa tu akulah manusia paling bahagia,” ujar yang seorang lagi.
“Banyak la kau punya bahagia. Baik kau study sikit. Lagi 15 minit kita dah nak kena masuk tau. Ni kan kertas terakhir. ” Zack bersuara.
“Yelah, pakcik. Kau kan dah tahu, aku paling tak suka mata pelajaran sains. Apa kata orang putih tu, I don’t like it. Cewah, pandai tak aku,” rakannya menghentikan jenaka pendek seketika tadi. Zack hanya tersenyum. Temannya yang seorang ini memang lucu orangnya.
Lima belas minit kemudian, semua calon SRP diarahkan masuk ke dewan. Zack dan rakan-rakannya yang lain mula mengatur tapak. Dalam dewan Zack menjawab soalan-soalan itu dengan tekun, menanam sejuta harapan di dalamnya. Bagi Zack, ini kertas terakhir. Perlu disempurnakan sebaik mungkin.

“Calon-calon boleh berhenti menjawab. Masa telah tamat,” lontaran suara daripada ketua pengawas merenyukkan bingkai angan yang dihias Zack sejak tadi. Pengawas-pengawas mula memungut kertas jawapan. Zack tidak putus-putus memanjatkan doa agar apa yang dijawab dapat menghias indah lembaran keputusannya kelak.
Semua calon dibenarkan keluar dewan. Masing-masing mempamerkan wajah lega dan gembira. Hanya beberapa orang daripada mereka sahaja yang menayangkan wajah sugul. Seakan tidak berpuas hati dengan apa yang telah dijawab. Tanpa banyak madah, Zack mendapatkan bukunya di bawah pohon bidara lalu mengarahkan kaki ke laluan biasa untuk ke rumah.

Lembaran kertas kajang itu hampir dua helai sudah selesai dicoret dengan tinta pena Zack. Sudah hampir dua jam juga Zack menghabiskan masa di sini, di pinggiran pantai, beralaskan pasir putih gebu dan ditemani melodi debur ombak yang menderu. Bayu laut yang berpuput sepoi-sepoi bahasa membawa bersama nostalgia silam. Satu demi satu lembaran kamus hidupnya diselak kembali. Teringat dua tahun yang lalu, dia dan ibunya bersama-sama mencari kepah di pantai ini. Satu ketika, dia dan rakan-rakannya mandi –manda di pantai ini. Dihiasi gelak tawa. Betapa nikmatnya! Zack mendongak, merenung dada langit yang luas terbentang. Mentari di rembang senja sememangnya indah. Lantas, Zack kutip bait-bait kata yang pernah dikarangnya.
Hidup ini umpama mentari, Saat ia terang, seakan tiada noktah hitam;
Namun pabila tiba saat ia kelam, Kerdip seakan menghilang diri.
“Zack, buat apa kat sini sorang-sorang?” sapa Miah, teman baik Zack sejak kecil. Dari tadi lagi dia memerhatikan Zack dari balik pepohon yang tumbuh sekitar pantai itu. Zack kerling Miah seketika. Petang itu Miah ayu mengenakan baju kurung hijau berbunga kuning. Tudungnya yang agak labuh terbuai-buai disapa angin di lembayung senja itu.
“Tak ada apalah. Saja isi masa lapang, tulis-tulis puisi,” jawab Zack tenang sambil menyuakan helaian kertas kajang yang sedari tadi berada di ribaannya. Miah sambut helaian itu dan mula tenggelam dalam kepuitisan bait-bait puisi Zack. Sememangnya dia amat gemar dengan puisi-puisi yang Zack hasilkan sejak sekian lama. Zack kembali merenung nun jauh ke tengah lautan. Laut yang menjadi lubuk rezeki bagi sesetengah penduduk di desa itu. Kelihatan di sudut barat laut, mentari semakin silu. Nampaknya malam semakin mendekat. Zack bangun, dibuntuti oleh Miah. Kemilau air laut yang disimbah sinar lembayung senja itu ditinggalkan bersama sejuta harapan.
“Jom kita lumba, siapa sampai ke rumah dulu, dia menang. Siapa kalah kena belanja aiskrim,boleh?” usul Zack.
“Boleh je. Dah tentu Miah yang menang nanti,” setuju Miah.
“Okey, saya kira sampai tiga kita lumba, ya. Satu.. Dua.. Ti..,” belum sempat Zack menghabiskan kiraannya, Miah sudah memulakan larian. Zack mengejar dalam tawa. Kedua-dua mereka akhirnya berkejaran pulang ke rumah dengan tawa yang mengiringi setiap jejak.

Pagi itu, Zack tersentak daripada tidur. Masih terlalu awal untuk bangun. Keadaan di luar masih lagi gelap. Namun, hambatan  mimpi sebentar tadi benar-benar mengganggu lenanya. Akhirnya Zack bangun, menuju ke tingkap. Suasana rumah yang kelam, yang hanya diterangi dengan sinaran pelita ayam, memberi peluang kepada sang rembulan untuk mempamerkan keindahannya.
“Wah, cantiknya!” bicara hati Zack tanpa kata. Taburan bintang yang melingkari rembulan begitu indah di mata Zack. Benarlah kata orang tua-tua; bagai bulan dipagar bintang; perumpamaan yang diberikan untuk gadis yang cantik. Memang benar, secantik rembulan di malam hari.
Zack melemparkan pandangannya ke bawah. Si Merah masih lagi terkatup matanya. Belum mahu memulakan tugas mengejutkan seisi rumah itu. Kesunyian yang melingkari Zack membawa kembali igauan semalam. Dalam tidurnya, Zack didatangi seorang lelaki tua, berserban dan berjubah putih. Janggutnya tidak berapa panjang, hanya separas lehernya sahaja. Lelaki itu memberi pesan kepadanya. Katanya, bawalah haluan mengikut arus bicara hati. Usah diikut madah daripada bibir yang lain. Nescaya Zack mampu mengubah hidup. Zack kurang mengerti maksudnya. Namun diiyakan juga bicara lelaki itu. Serentak itu juga Zack tersedar. Puas Zack mencongak jawapan, mencari solusi kepada bait-bait kata yang penuh makna itu. Akhirnya, Zack mengambil langkah hanya mengunci diri.
“Mungkin mainan tidur,” benak Zack melontar pendapat. Dalam keasyikan melayan mindanya, Zack tersentak dengan tepukan di bahu kirinya. Seraya itu Zack memalingkan muka. Mencari gerangan empunya laku. Terjengul wajah ayahnya di sisi. Zack urut dada sendiri. Bibirnya beristighfar.
“Awal bangun Zack,” sapa ayahnya.
“Tak boleh tidur, ayah,” jawab Zack.
“Kenapa?” ayah Zack tidak mahu beralah lagi. Soalan dilontar menyambung bicara.
“Mimpi,” ujar Zack sepatah.
“Mimpi tu mainan tidur, Zack. Usah difikirkan sangat. Nanti tak terbuat semua kerja kamu hari ni,” kata ayahnya lagi. Sekaligus melegakan hati Zack yang sejak tadi gundah.
‘Ya! Hanya mainan tidur!’
Akhirnya Zack menapak perlahan, menuju ke sungai untuk membersihkan diri. Sebentar lagi rutinnya akan bermula. Membantu ayahnya di sawah.

“Zack, cepatlah! Kita dah lewat ni,” laung Miah lembut. Zack tergesa-gesa memakai selipar. Seterusnya mendapatkan basikal tuanya.
“Jom-jom. Dah pukul berapa dah ni,” ujar Zack sambil terus mengayuh basikal yang ternyata terlampau besar buat dirinya. Basikal Raleigh buatan England itu telah banyak berjasa buat kelluarganya.
Miah membuntuti dengan kayuhan yang sama lajunya. Hari ini keputusan SRP diumumkan. Semua pelajar tingkatan tiga terkejar-kejar ke sekolah. Hari penuh debaran buat mereka.

Tiba di sekolah, sudah ramai pelajar yang tiba. Ada yang berwajah gembira, ada yang sugul, ada juga yang seakan terawang-awang. Zack dan Miah menuntun basikal mereka ke arah garaj berdekatan. Setelah memastikan basikal berada dalam keadaan baik, mereka berlari-lari mendapatkan rakan masing-masing. Miah terus mendapatkan Siah, teman dekatnya di kelas. Sementara Zack,melilaukan mata mencari rakan sekelasnya. Dia tidak sekelas dengan Miah. Retina Zack akhirnya dapat menangkap kelibat Azizah, ketua kelasnya. Tanpa membuang masa, Zack mendapatkan Azizah.
“Keputusan dah keluar ke?” tanya Zack memulakan bicara.
“Belum. Lagi 10 minit katanya,” jawab Azizah. Zack angguk tanda mengerti.

Sepuluh minit kemudian, semua pelajar mengerumuni papan kenyataan, ingin mengetahui keputusan peperiksaan SRP masing-masing. Zack yang bertubuh kecil seringkali tertolak ke belakang, didorong oleh mereka yang lebih besar. Namun Zack keraskan jua langkah kakinya menyelinap dicelahan rakan-rakan. Akhirnya Zack berada di barisan paling hadapan. Dia melilaukan mata,mencari-cari namanya.
1.. 2.. 3.. Mata Zack terus melilau membuntuti patah-patah kata yang ditaip. Akhirnya Zack menemui barisan namanya. Hampir melompat Zack melihat keputusannya.
10 agregat! Sukar dipercayai! Zack seakan-akan tidak mahu percaya. Ditenung senarai itu berulang kali. Sah! Memang sah! Dengan hati yang bercampur baur, gembira, sedih, seronok dan sayu Zack keluar dari kelompok pelajar yang berasak-asak itu. Baru beberapa langkah tiba-tiba Zack terdengar suara.
“Tahniah, Zack! Keputusan kamu sekaligus meletakkan nama kamu dalam senarai sepuluh pelajar terbaik sekolah,” ujar Cikgu Ghazali, bekas penyelia petang semasa Zack tingkatan 1 dulu. Cikgu yang telah banyak membimbing dan mendorong Zack untuk terus belajar. Zack tidak mampu melontar bicara, hanya ucapan ringkas “terima kasih cikgu” yang mampu Zack lontarkan. Tenyata, usahanya selama ini membuahkan hasil lumayan.
Sedetik berlalu, baru Zack teringatkan Miah. Lantas matanya melilau mencar-cari kelibat Miah. Tertancap pada pandangannya figura Miah di bawah rimbunan pohon bidara. Mukanya sedikit keruh. Zack mengatur tapak mendekati.
“Macamana keputusan awak?” tanya Zack. Namun, Miah tetap tunduk, kakinya menguis-nguis tanah.
“Erm,saya tak bijak macam awak. Keputusan saya tak sebaik awak. Tapi, takpelah. Saya tak kisah. Oh,ya! Tahniah buat awak. Sepuluh pelajar terbaik tu. Bangga saya dapat jadi kawan awak,” Miah mula mendongak, matanya bertembung dengan mata Zack. Ada manik-manik jernih yang menjadi takungan di pelupuk matanya, menanti saat untuk gugur. Namun, senyum tak lekang dari bibirnya, memaksa diri bergembira.
“Terima kasih. Tapi, janganlah cakap macam tu. Awak masih boleh naik tingkatan empat kan. Masih ada masa lagi untuk awak berjaya. Sudah, jangan menangis,” pujuk Zack. Miah segera menyapu manik-manik yang mulai meleraikan diri ke atas pipi gebu miliknya. Dia cuba ketawa. Tidak mahu mengecewakan sahabat baik sekampungnya yang sentiasa bersama semenjak di sekolah rendah lagi.
“Jom, kita balik,” ajak Miah. Zack hanya mengangguk. Mereka berdua mula melangkah ke garaj, menyorong basikal dan menuju ke rumah masing-masing.

Mak Milah dan Pak Aziz masih lagi di tengah sawah saat Zack tiba di rumah. Zack memarkirkan basikalnya di batang kelapa dan berlari-lari ke tengah bendang sambil mengenggam keputusan peperiksaannya.
“Mak!... Mak!... Ayah!...Zack dapat 10 agregat!” laung Zack sambil terus menyusuri batas padi. Padahal, dia sedia maklum, apalah yang difahami oleh kedua-dua orang tuanya mengenai pembelajaran di sekolah. Mak milah dan Pak Cik Aziz tak pernah mengerti apa itu 10 agregat. Zack berhenti di hadapan ibunya, yang menangguhkan kerja buat sesaat untuk melayan kerenah anak bongsunya. Lantas Zack menyuakan keputusan peperiksaan ke tangan ibunya.
“Tengok, mak…ayah. Zack dapat keputusan cemerlang. Tersenarai dalam sepuluh pelajar cemerlang di sekolah, mak….ayah,” cerita Zack, ingin menjentik perasaan bangga dalam diri si ibu terhadap anaknya. Pak Aziz turut tidak mahu ketinggalan. Perlahan-lahan kaki tua itu melangkah mendekati dua beranak yang dari tadi riang bercerita.
“Bagus, nak. Mak bangga dengan kamu,” bicara Mak Milah diiringi titis-titis mutiara kebanggaan.
“Mak, janganlah menangis,” ujar Zack pula.
“Entahnya awak ni. Si Zack ni bukan main lagi bawa balik keputusan cemerlang. Awak menangis pula,” kata Pak Aziz dalam tawa. Ketiga-tiga mereka tertawa bahagia. Fikiran Pak Aziz menerawang jauh, mengenangkan abang-abang dan kakak-kakak Zack yang terkandas di tengah jalan. Hanya Zack yang berjaya. Zack lah yang menjadi harapannya.
Hari itu, mereka pulang awal. Mak Milah ingin memasakkan masakan kegemaran Zack, gulai lemak ikan haruan bercampur daun kadok. Semua itu sempena kejayaan Zack.

Malam sudah larut benar. Namun mata Zack seakan-akan terpaku. Tiada kantuk yang bertandang. Ibu dan ayahnya di sudut bertentangan juga masih belum tidur. Mereka tidak sedar yang Zack juga belum melelapkan mata. Dalam nada bisikan, mereka berbicara tentang Zack.
“Dari mana agaknya kita nak cari duit, kalau Zack minta untuk sambung belajar di sekolah lain,” kedengaran sayup-sayup suara Pak Aziz ditelan keheningan malam.
“Entahlah. Saya pun ada terfikir juga tadi. Nak halang dia daripada pergi, tak tergamak pula saya. Kesian kat dia, penat-penat belajar. Mesti nak juga si Zack tu rasa belajar kat tempat baru,” Mak Milah mengiyakan.
“Tak mengapalah, nanti bila Zack minta nak pergi mana-mana nanti, kita pejam mata je sekejap. Kita kerja kuat sikit. Duit yang saya simpan sikit ada rasanya dalam tin kat dapur tu. Bolehlah buat penguat.  Saya pun tak sampai hati nak lukakan hati dia,” ujar Pak Aziz lagi.
“Sudahlah, bang. Mari kita tidur. Esok kita kena kerja. Nanti terlewat bangun pula,” akhirnya kedua-dua orang tua Zack tenggelam dalam buaian mimpi masing-masing. Tinggal Zack seorang sahaja yang masih terkebil-kebil, mencongak kembali bicara kedua-dua orang tuanya seminit tadi. Seakan berkecai angannya seketika. Di luar cahaya bulan terang benderang menerangi alam.

Pagi itu Zack ke sekolah lagi. Bersama-sama dengan Razak, salah seorang pelajar yang turut tersenarai dalam senarai sepuluh pelajar terbaik. Hari ini Cikgu Ghazali memanggil semua pelajar terbaik ke sekolah. Ada berita gembira katanya.
Tiba di sekolah, Azizah, Hussin,  Nori, Ozmin dan Zulkifli antara sepuloh pelajar terbaik sudah sedia menunggu di bawah garaj. Dua minit kemudian, semua pelajar yang dijemput tiba. Masing-masing menunggu Cikgu Ghazali. Sambil-sambil menunggu, benak masing-masing tidak leka daripada membuat perhitungan sendiri. Masing-masing tertanya-tanya apakah berita gembira yang bakal dikhabarkan nanti.
“Sila ikut saya ke pejabat,” arah Cikgu Ghazali.

Di pejabat, Cikgu Ghazali mengambil beberapa pucuk surat, tertera nama pelajar-pelajar terbaik SMKDBW. Tiba giliran Zack, dia mengambil surat itu dan merenungnya lama-lama. Surat tawaran! Sampul dikoyak. Perlahan-lahan dengan penuh debaran lipatan kertas biru itu dibuka.

TAHNIAH! ANDA DITERIMA MASUK KE SEKOLAH MENENGAH TEKNIK LARKIN JOHOR BHARU. BUTIR-BUTIR PENDAFTARAN DAN DOKUMEN-DOKUMEN YANG MESTI DIBAWA ADALAH SEPERTI BERIKUT…

Selang beberapa hari dan tempoh waktu melapor diri kian tiba. Bait-bait kata yang tersusun di hamparan kertas biru yang masih keras itu seakan menjadi ceraian-ceraian kata dalam minda Zack. Di petang yang hening ditepi padang bola sekolah, Zack menapak perlahan ke arah banjaran pohon rhu, tempat dia dan rakan-rakannya menghabiskan waktu bersama sebelum memulakan permainan bola sepak. Satu-satunya permainan kegemaran Zack.  Zack terduduk di perdu salah satu pohon rhu itu. Tiga orang rakan sekelasnya semakin menghampiri. Zack tidak ambil peduli. Dengan jemari halusnya dilipat kertas itu kepada dua, dikoyak. Dilipat lagi menjadi empat, enam, lapan. Akhirnya menjadi cebisan-cebisan kecil. Zack melemparkan cebisan kertas biru itu ke udara, membiarkan cebisan-cebisan itu jatuh sendiri ditiup angin. Rakan-rakannya yang lain menghampiri.
“ Zack, kau dapat tawaran ke man….” belum sempat Ozmin menghabiskan bicaranya, matanya terpaku pada cebisan-cebisan kertas biru yang bertaburan di atas rumput.
“Zack? Kenapa?” tanya Zaidi. Namun, bibir Zack masih kaku mengatur kata. Hanya air jernih meniti di kelopak matanya.
“Zack. Jangan buat macam ni. Jangan buat kami risau,” Hussin turut serta menyampuk.
“Kenapa kau koyak surat ni? Kau tak nak pergi ke?” bicara Ozmin tidak teratur. Namun,Zack tetap membisu sejuta kata. Angin mula menampar lembut wajahnya. Membawa bersama sejuta harapan Zack yang tidak kesampaian. Guguran dedaun rhu yang runcing menghanyutkan lagi Zack dengan dunia ciptaannya. Membiarkan persoalan tiga rakannya tergantung tanpa jawapan. Hanya dia mengerti. Mengerti akan ranjau kehidupannya. Zack akur akan takdir. Zack tak ingin lagi menambah beban emak dan ayahnya. Zack pasrah segalanya. Petang itu Zack tidak bersama kawan-kawan menyepak bola di padang. Zack mencoret sesuatu di sampul surat tawaran ke sekolah teknik yang sudah tiada isinya.

Harapan itu Merupakan mimpi yang tak pernah tidur..
Selagi bergelar harapan, Ia akan tetap mekar..
Hingga tiba saatnya Harapan bercambah menjadi cita
Yang pasti bisa digapai Satu ketika nanti…

Zack nekad akan meneruskan perjuangannya walau di mana ia berada. Zack akan buktikan bahawa ia mampu berjaya seperti rakan-rakannya yang lain. Rakan-rakan yang akan meninggalkannya untuk belajar di tempat baru.

Saturday, December 24, 2011

jangan mudah mengalah

assalamualaikum w.b.t...





bukan mudah nak berjaya..tapi selagi kita percaya pada diri sendiri,semua tu tak mustahil kan..
ambil semangat daripada mereka yang dah berjaya..
bukan semua yang berjaya tak mempunyai masa lalu yang menjatuhkan mereka..
kadang2,semangat yang dikutip semula selepas jatuh itulah yang membantu mereka untuk menjadi seperti mereka pada hari ini..jangan melihat kejayaan dan kesenangan mereka pada hari ini..
tetapi kaji dahulu apa yang dah mereka lalui berpuluh tahun sebelumnya..
tak selalunya mereka berada di atas..
terkadang ada juga ketikanya mereka di bawah..
tak selalunya mereka tersenyum dengan setiap apisod hidup..
kadangkala derita dan tangisan mereka lebih banyak daripada segaris senyuman..
kita tak boleh memandang orang lain hanya sekadar satu pandangan bisu sahaja..
tapi selidiklah hidup mereka..


"Apabila kita berjaya, terlalu mudah bagi orang membuat kesimpulan dan andaian" - Bill Gates

"Nilai hidup harus diukur dengan garis yang lebih mulia, iaitu kerja dan bukannya usia" -Richard Brinsley Sheridan

"Ciri orang yang beradab ialah dia sangat rajin dan suka belajar, dia tidak malu belajar daripada orang yang berkedudukan lebih rendah darinya" - Confucius

"Aku berfikir terus menerus berbulan-bulan dan bertahun tahun, sembilan puluh sembilan kali dan kesimpulannya salah. Untuk yang keseratus aku benar " - Albert Einstein

"Hidup itu seperti menunggang basikal..untuk tetap seimbang,kamu harus terus bergerak" - Albert Einstein

"Belajarlah dari masa lalu, hiduplah untuk masa depan. Yang paling penting adalah tidak berhenti bertanya" - Albert Einstein

"Orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang" - Cecil B. DeMille

"Kamu harus memiliki keyakinan terhadap sesuatu – keinginan, takdir, hidup, karma, apapun" - Steve Jobs

"Jika kamu melakukan sesuatu yang berguna, maka seterusnya kamu harus melakukan hal lain yang luar biasa. Jangan renungkan terlalu lama, fikirkan apa yang harus kamu buat seterusnya" - Steve Jobs

"Orang yang bercita-cita tinggi adalah orang yang menganggap teguran keras baginya lebih lembut daripada sanjungan merdu seorang penjilat yang berlebih-lebihan" - Thales -

"Wahai anak muda,jika kamu tidak sanggup menahan lelahnya belajar,kamu harus menanggung pahitnya kebodohan" - Pythagoras



tahniah warga smkt!

assalamualaikum w.b.t...

pertama-tamanya cikgu nak ucapkan setinggi tahniah kepada semua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat atas pencapaian yang cemerlang dalam PMR baru-baru ini..mungkin agak terlewat kerana baru hari ni berkesempatan untuk memuatkan berita ni dalam blog..

dengan pencapaian 46orang calon straight A's daripada 100+ calon dan peratus pencapaian 86.5%,ternyata keputusan ini amat membanggakan..tahniah sekali lagi!



semoga calon-calon yang telah menduduki peperiksaan PMR meneruskan usaha untuk mencapai kejayaan di masa hadapan dalam SPM nanti..

buat pelajar-pelajar yang telah menduduki SPM 2011, banyakkan doa setelah usaha..insyaAllah keputusan memihak kepada anda semua..terima semua keputusan dengan redha..teruskan usaha biarpun sekali melangkah tidak berjaya..


Tuesday, September 27, 2011

al khawarizmi - sarjana matematik & astronomi

assalamualaikum w.b.t...






AL-KHAWARIZMI dilahirkan di Bukhara. Nama sebenarnya ialah Muhammad Ibn Musa al-Khawarizmi. Selain itubeliau dikenali juga sebagai Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin YusoffGelaran Al-Khawarizmi yang dikenali di Barat ialah al-Khawarizmi, al-Cowarizmi, al-karismi, al-Goritmi atau al-GorismNama al-Gorism terkenal pada abad pertengahan. Di negara Perancispula al-Gorism muncul sebagai Augryam atau Angrism. Di negara Inggeris pula dia dikenali sebagai Aurym atau Augrim.

Tahun 780-850M adalah zaman kegemilangan al-KhawarizmiDicatatkanbeliau meninggal dunia antara 220M dan 230M. Ada yang mengatakan al-Khawarizmi hidup sekitar awal pertengahanabad kesembilan.

Dalam bidang pendidikan terbukti bahawa beliau ialah seorang tokoh Islam yang berpengetahuan luas meliputi bidang falsafahlogikaritmetikgeometrimuzikkejuruteraansejarah Islam dankimia.

Beliau amat terkenal sebagai guru algebra di Eropah dan menciptakan pemakaian Secans dan Tangens dalam penyelidikan trigonometri dan astronomi. Dalam usia muda beliau bekerja dibawah pemerintahan Khalifah al-Ma’mun di Bayt al-HikmahBaghdad.
Beliau gemar bekerja dalam balai cerap untuk mendalami ilmu matematik dan astronomi serta pernah memperkenalkan angka-angka India dan cara-cara perhitungan India pada dunia Islam.

Al-Khawarizmi ialah seorang tokoh yang mula-mula memperkenalkan algebra dan hisab. Banyak lagi ilmu pengetahuan yang beliau pelajari dalam bidang matematik dan menghasilkan konsep-konsep matematik yang begitu popular sehingga digunakan pada zaman sekarang.

Antara hasil karya yang telah beliau hasilkan ialah:

1. Sistem NomborIa telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin iaitu De Numero IndorumMufatih al-Ulum’ yang bermaksud beliau adalah pencinta ilmu dalam pelbagai bidang.

2. Al-Jami wa al-Tafsir bi Hisab al-Hind: Karya ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Prince Boniopagri.

3. Al-Mukhtasar Fi Hisab al-Jabr wa al-MuqabalahDiterbitkan pada 820M dan ia mengenai algebra.

4. Al-Jabr wa’l MuqabalahPenggunaan secans dan tangens dalam penyelidikan trigonometri dan astronomi.

5. Hisab al-Jabr wa al-MuqabalahContoh-contoh persoalan matematik dan mengemukakan 800 soalan yang sebahagian daripadanya merupakan persoalan yang dikemukakan oleh Neo.Babylian dalam bentuk dugaan yang telah dibuktikan kebenarannya oleh al-Khawarizmi.

Dalam bidang matematik, al-Khawarizmi telah memperkenalkan algebra dan hisab. Beliau banyak menghasilkan karya-karya yang masyhur ketika zaman tamadun Islam. Antara karya-karyayang beliau hasilkan ialah Mafatih al-Ulum. Sistem nombor adalah salah satu sumbangannya dan telah digunakan pada zaman awal tamadun Islam.
Banyak kaedah yang diperkenalkan dalam setiap karya yang dihasilkan. Antaranya ialah kos, sin dan tan dalam trigonometri penyelesaian persamaanteorem segi tiga samamengira luas segitigasegi empat selari dan bulatan dalam geometriMasalah pecahan dan sifat nombor perdana dan teori nombor juga diperkenalkan.

Bidang astronomi juga membuatkan al-Khawarizmi dikenali pada zaman tamadun Islam. Astronomi dapat ditakrifkan sebagai ilmu falak iaitu pengetahuan tentang bintang-bintang yangmelibatkan kajian tentang kedudukanpergerakandan pemikiran serta tafsiran yang berkaitan dengan bintang.

Penggunaan matematik dalam astronomi sebelum tamadun Islam amat sedikit dan terhad. Ini disebabkan oleh kemunduran pengetahuan matematik yang terhad kepada pengguna aritmetik dangeometri sahaja.

Al-Khawarizmi dianggap sebagai sarjana matematik yang masyhur oleh orang Islam dan ia diperakui oleh sarjana BaratG. Sarton pernah menyatakan bahawa pencapaian-pencapaian tertinggitelah diperoleh oleh orang-orang Timur terutama al-Khawarizmi.
Wiedmann pula menyifatkan al-Khawarizmi mempunyai personaliti yang teguh dan seorang yang bijaksana. Ini membuktikan al-Khawarizmi telah memberi sumbangan yang besar dalam bidangmatematik dan astronomi.




Monday, September 19, 2011

Gottfried Willhelm Leibniz - tokoh matematik


assalamualaikum w.b.t...



Gottfried Willhelm Leibniz (16464 - 1716) merupakan seorang saintis dari Jerman. Ayahnya merupakan seorang pentadbir di Universiti Leipzig. Ketika masih kanak-kanak, beliau belajar dengan cepat dan menguasai bahasa Latin pada usia 8 tahun dan digelar pakar dalam bahasa kuno ketika berusia 12 tahun.


Leibniz diterima masuk ke Universiti Leipzig ketika berusia 15 tahun dan mendapat gelaran doktor pada usia seawal 20 tahun. Beliau dianggap salah seorang daripada cendekiawan dunia dengan pengetahuan yang luas dalam bidang falsafah,matematik,sains,sejarah dan teologi. Leibniz dan Sir Isaac Newton dikatakan tokoh yang mengembangkan ilmu pembezaan kalkulus. Leibniz menyempurnakan dan mencipta sebuah mesin kira yang lebih hebat daripasa mesin kira yang dicipta oleh Blaise Pascal.

Beliau menunjukkan kemampuan mesin kira itu di hadapan ahli Royal Academy of The Sciences di Paris serta ahli-ahli Royal Society of London. Beliau kemudian dianugerahkan menjadi ahli dari Royal Society of London. Beliau pernah dihantar sebagai wakil pelbagai misi diplomasi sehingga dapat bertemu dengan ramai centedikiawan tersohor.

Jika Spinozatelah mencapai konsep unity (bersatu) dalam monisme (anggapan bahawa apa yang ada hanya satu), Leibniz sebaliknya merasakan bahawa kita harus menekankan individualiti. Falsafahnya yang dinamakan monadologi mengatakan bahawa setiap orang atau benda merupakan kesatuan yang berasingan atau Monad,yang kewujudannya ditentukan oleh Tuhan. Oleh itu Leibniz menyimpulkan tiada yang terpisah dalam alam. Tiada yang mati kerana segala sesuatu merupakan satu aktiviti yang berbeza. 

Omar Al-Khayyam - pakar algebra,astronomi,matematik

assalamualaikum w.b.t...








OmarKhayyam merupakan ilmuwan Islam yang terkenal. Kepakaran Omar Khayyam, seorang rakyat Parsi,adalah dalam bidang matematik, astronomi, falsafah,perubatan dan puisi. Nama sebenarnya ialah Ghiyath al-DinAbul Fateh Omar Ibn Ibrahim al-Khayyam dan dilahirkan padatahun 1044. Khayyam sebenarnya bermaksud pembuatkhemah.

Sebenarnya, tidak banyak yang diketahui mengenai sejarahawal hidupnya kecuali fakta bahawa dia mendapat pendidikandi Nishapur dan tinggal di sana dan juga di Samarqand sepanjang hidupnya.Melihat perjalanan hidupnya, Omar Khayyam adalah seorangyang sangat sukakan kesederhanaan. Beliau pernahditawarkan untuk bekerja di istana.

Beliau sebaliknya menolak dan memilih hidup secara sederhana dan tenang untuk menimbailmu. Beliau mengembara ke pusat-pusat ilmu ketika itu seperti di Samarqand, Bukhara, Balkhdan Isphahan untuk mendalami ilmunya dan juga bertukar-tukar fikiran dengan para ilmuan di sana.Semasa di Samarqand, beliau diletakkan di bawah seliaan seorang pembesar - Abu Tahir.

Sumbangan terbesar Omar Khayyam ialah dalam bidang Algebra.Beliau pernah membuat percubaan untuk mengklasifikasikan kebanyakan persamaan algebra termasuk persamaan darjah ke tiga. Malah beliau juga menawarkan beberapa penyelesaian untuk beberapa masalah algebra. Initermasuklah penyelesaian geometrik bagi persamaan kiub dan sebahagian daripadapenyelesaian kebanyakan persamaan lain.

Bukunya `Mazalat fi al-Jabr wa al-Muqabila’ adalah karya agungnya dalam bidang algebra dan sangat penting dalam perkembangan algebra. Pengklasifikasian persamaan yang dilakukan oleh Omar Khayyam adalah berasaskan kerumitan sesuatu persamaan. 

Omar Khayyam telah mengenal pasti 13 jenis bentuk persamaan kiub. Kaedah penyelesaian persamaan yang digunakan oleh Omar Khayyam adalah bersifat geometrikal. Dalam bidang geometri pula, beliau banyak membuat kajian-kajian yang menjurus kepada pembentukan teori garisan selari.Beliau juga pernah diarahkan oleh Sultan Saljuq - Malikshah Jalal al-Din untuk bekerja di balai cerap.Di sana, beliau ditugas untuk menentukan kalendar solat yang tepat. Khayyam berjaya memperkenalkan kalendar yang hampir-hampir tepat dan dinamakan Al-Tarikh-al- Jalali.

Selain itu, Omar Khayyam juga turut menyumbang dalam bidang lain seperti pembangunan kaedah menentukan graviti. Dalam bidang metafizik, beliau menulis tiga buku. Beliau juga terkenal sebagai seorang ahli astronomi terkenal dan juga doktor.

Selain dalam bidang sains, Omar Khayyam juga terkenal sebagai seorang penyair yang hebat di zamannya.Malah, beliau pernah menjadi terkenal di kalangan dunia barat sejak tahun 1839 apabila Edward Fitzgerald menerbitkan terjemahan bahasa Inggeris bagi bukunya - Rubaiyat. Buku ini menggambarkan kehebatan dan kekayaan ilmu yang dimiliki Omar Khayyam. Omar
Khayyam juga menulis pelbagai jenis buku dan monograf dalam pelbagai jenis bidang.
Antaranya ialah 10 buku dan 30 monograf berjaya dikesan. Daripada jumlah ini, empat buahbuku adalah berkaitan matematik, fizik (tiga), metafizik (tiga) dan satu untuk algebra dan geometri.

Jasa dan pengaruh Omar Khayyam begitu besar terutamanya dalam perkembangan bidang
matematik dan juga geometri.
Malah kerja-kerjanya mendahului semua ilmuan lain selama berabad-abad lamanya.Sebenarnya, kehebatan Omar Khayyam dalam bidang matematik banyak dikaburi olehkehebatannya sebagai seorang penyair.

Bagaimanapun, sumbangan beliau sebagai ahli falsafah dan saintis banyak meletakkan asas
dalam tamadun keilmuan manusia sejagat.

Sunday, September 18, 2011

jepun - sepuluh sikap untuk berjaya

assalamualaikum w.b.t...


jepun sememangnya terkenal dengan kemajuan ekonomi serta pendidikannya yang pesat..
kita seharusnya mengambil teladan daripada sikap masyarakat jepun..
tidak perlu merasa hina untuk meniru sesuatu yang positif..
usaha untuk memajukan diri sendiri tidak pernah dipandang hina oleh orang lain..
orang jepun mempunyai sepuluh sikap yang membantu mereka dalam memajukan diri serta negara..

1. BEKERJA KERAS


Sudah menjadi rahsia umum bahawa bangsa Jepun adalah pekerja yang rajin. Secara purata jam kerja pegawai di Jepun adalah 2450 jam/tahun, sangat tinggi dibandingkan dengan Amerika (1957 jam/tahun), Britain (1911 jam/tahun), Jerman (1870 jam/tahun), dan Perancis (1680 jam/tahun). Seorang pekerja di Jepun dapat menghasilkan sebuah kereta dalam masa 9 hari, sedangkan pekerja di negara lain memerlukan 47 hari untuk membuat kereta yang bernilai sama. Seorang pekerja Jepun boleh dikatakan boleh melakukan pekerjaan yang biasanya dikerjakan oleh 5-6 orang. Pulang cepat adalah sesuatu yang boleh dikatakan “agak memalukan” di Jepun, dan menandakan bahawa pegawai tersebut termasuk “yang tidak diperlukan” oleh perniagaan. Di kampus, professor juga biasa pulang malam (secara tepat pagi), membuat mahasiswa tidak mahu pulang cepat. Fenomena Karoshi (mati kerana kerja keras) mungkin hanya ada di Jepun. Sebagian besar orang lama Jepun menyebutkan bahawa dengan kerja keras inilah sebenarnya kebangkitan dan kemakmuran Jepun boleh tercapai.

2. MALU

Malu adalah budaya sopan dan turun temurun bangsa Jepun. Harakiri (bunuh diri dengan menusukkan pisau ke perut) menjadi ritual sejak era samurai, iaitu ketika mereka kalah dalam pertempuran. Masuk ke dunia moden, wacananya sedikit berubah ke fenomena “mengundurkan diri” bagi para pejabat (menteri, politikus, dsb) yang terlibat masalah rasuah atau merasa gagal menjalankan tugasnya. Kesan negatifnya mungkin adalah pelajar yang kadang-kala membunuh diri, kerana keputusan peperiksaan yang buruk atau tidak naik kelas. Kerana malu jugalah, orang Jepun lebih suka beratur daripada memotong barisan semasa beratur. Mereka secara automatik membentuk barisan dalam setiap keadaan yang diperlukan seperti pembelian ticket, masuk ke stadium untuk menonton bolasepak, menaiki bas, bahkan untuk menggunakan tandas awam. Mereka beratur rapi menunggu giliran. Mereka malu terhadap orang sekeliling apabila mereka melanggar peraturan ataupun norma yang sudah menjadi amalan umum.

3. HIDUP BERJIMAT

Orang Jepun memiliki semangat hidup berjimat dalam keseharian. Sikap anti konsumerisme berlebihan ini nampak dalam berbagai bidang kehidupan. Kebanyakan orang Jepun ramai belanja di supermarket pada sekitar jam 19:30. Ini kerana sudah menjadi perkara yang biasa bahawa supermarket di Jepun akan memotong harga sampai separuh pada waktu sekitar setengah jam sebelum tutup. Seperti diketahui bahawa Supermarket di Jepun rata-rata tutup pada pukul 20:00. Contoh lain adalah para suri rumah rela menaiki basikal menuju ke kedai sayur agak jauh dari rumah, hanya kerana lebih murah 20 atau 30 yen. Banyak keluarga Jepun yang tidak memiliki kereta, bukan kerana tidak mampu, tapi kerana lebih berjimat menggunakan bas. Ruangan pemanas di rumah Jepun pun menggunakan minyak tanah yang berbau, padahal sudah cukup dengan Aircond yang ada mode dingin dan panas. Alasannya ternyata satu, minyak tanah lebih murah daripada elektrik. Professor Jepun juga terbiasa menaiki basikal tua ke kampus, bersaing dengan mahasiswa-mahasiswanya.

4. SETIA

Setia membuat sistem karier di sebuah perniagaan berjalan dengan rapi. Sedikit berbeda dengan sistem di Amerika dan Eropa, sangat jarang orang Jepun yang bertukar-tukar kerja. Mereka biasanya bertahan di satu atau dua perusahaan sampai pencen. Ini mungkin implikasi dari Industri di Jepun yang kebanyakan hanya mahu menerima fresh graduate, yang kemudian mereka latih dan didik sendiri sesuai dengan bidang (core business) perusahaan. Bandar Hofu mungkin sebuah contoh yang nyata. Hofu dulunya adalah bandar industri yang ketinggalan dengan penduduk yang terlalu padat. Kesetiaan penduduk untuk tetap bertahan (tidak pergi ke luar bandar) dan punya komitmen bersama untuk bekerja keras siang dan malam akhirnya mengubah Hofu menjadi bandar yang maju dan moden. Bahkan pada masa sekarang menjadi bandar industri terbaik dengan pengeluaran kendaraan mencapai 160,000 setahun.

5. INOVASI

Jepun bukan bangsa pembuatan, tapi orang Jepun mempunyai kelebihan dalam mengubah penemuan orang lain dan kemudian memasarkannya dalam bentuk yang diminati oleh masyarakat. Menarik membaca kisah Akio Morita yang mengembangkan Sony Walkman. Cassete Tape tidak ditemukan oleh Sony, patennya dimiliki oleh perniagaan Phillip Electronics. Tapi yang berhasil mengembangkan dan mengubah model portable sebagai sebuah produk yang meletup selama puluhan tahun adalah Akio Morita, founder dan CEO Sony pada masa itu. Sampai tahun 1995, tercatat lebih dari 300 model walkman lahir dan jumlah total produksi mencapai 150 juta produk. Teknik kendaraan roda empat juga bukan diciptakan orang Jepun, patennya dimiliki orang Amerika. Tapi ternyata Jepun dengan inovasinya dapat mengembangkan industri kendaraan yang lebih cepat dan murah. Kereta yang dihasilkan juga relatif lebih murah, ringan, mudah dipandu, mudah dibaiki dan lebih jimat bahan bakar. Perusahaan Matsushita Electric yang dulu terkenal dengan sebutan “maneshita” (peniru) punya legenda sendiri dengan mesin pembuat rotinya. Inovasi dan idea dari seorang engineernya bernama Ikuko Tanaka yang berinisiatif untuk meniru teknik pembuatan roti dari cheef di Osaka International Hotel, menghasilkan karya mesin pembuat roti (home bakery) berjenama Matsushita yang kemudian semakin terkenal.

6. PANTANG MENYERAH

Sejarah membuktikan bahawa Jepun termasuk bangsa yang tahan banting dan pantang menyerah. Puluhan tahun dibawah kerajaan Tokugawa yang menutup semua akses ke luar negeri, Jepun sangat tertinggal dalam teknologi. Ketika pemulihan Meiji (meiji ishin) datang, bangsa Jepun cepat beradaptasi dan menjadi fast-learner. Kemiskinan sumber daya alam juga tidak membuat Jepun menyerah. Tidak hanya menjadi pengimport minyak,bijih besi dan kayu, bahkan 85% sumber tenaga Jepun berasal dari negara lain.
Rentetan bencana terjadi di tahun 1945, dari peristiwa bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, disusul dengan kekalahan Jepun dalam perang, dan ditambahi dengan adanya gempa bumi besar di Tokyo. Ternyata Jepun tidak habis. Dalam beberapa tahun berikutnya Jepun sudah berhasil membangun industri automotif dan bahkan juga keretapi laju (shinkansen) . Mungkin cukup menakjubkan bagaimana Matsushita Konosuke yang perniagaannya hancur dan hampir tersingkir dari perniagaan peralatan elektronik di tahun 1945 masih mampu merangkak, bermula dari kosong untuk membangun industri sehingga menjadi empayar ampuh terkini. Akio Morita juga awalnya menjadi bahan ketawa orang ketika menawarkan produk Cassete Tapenya yang kecil ke berbagai negara lain. Tapi akhirnya menjadi legenda dengan dengan Sony Walkmannya. Yang Cukup unik bahawa ilmu dan teori dimana orang harus belajar dari kegagalan dibuat formula di Jepun dengan nama shippaigaku (ilmu kegagalan).

7. BUDAYA BACA

Jangan terperanjat kalau anda datang ke Jepun dan masuk ke densha (kereta elektrik), sebahagian besar penumpangnya baik anak-anak maupun dewasa sedang membaca buku atau surat khabar. Tidak peduli duduk atau berdiri, ramai yang memanfaatkan waktu di densha untuk membaca. Ramai penerbit yang mula membuat komik manga untuk mengisi di kurikulum sekolah. Pelajaran Sejarah, Biologi, Bahasa, dsb disajikan dengan menarik yang membuat minat baca masyarakat semakin tinggi. Budaya membaca orang Jepun juga didukung oleh kecepatan dalam proses penerjemahan buku-buku asing (Bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, dsb).

8. KERJASAMA

Budaya di Jepun tidak terlalu membuat kerja yang terlalu bersifat individualistik.
Termasuk dalam menghasilkan pekerjaan, biasanya dengan hasil kerja berkumpulan tersebut. Fenomena ini tidak hanya di dunia kerja, keadaan kampus juga seperti itu, mengerjakan tugas assignment biasanya juga dalam bentuk berkumpulan. Kerja dalam kumpulan mungkin salah satu kekuatan terbesar orang Jepun. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “Seorang professor Jepun akan kalah dengan seorang professor Amerika, tetapi 10 orang professor Amerika tidak akan dapat mengalahkan 10 orang professor Jepun yang berkumpulan”. Mesyuarat atau muafakat atau sering disebut dengan “rin-gi” adalah ritual dalam kumpulan. Keputusan strategi harus dibincangkan dalam “rin-gi”.

9. BERDIKARI

Sejak usia kecil, anak-anak dilatih untuk berdikari.Di Jepun setiap kanak-kanak dilatih untuk membawa perlengkapan sendiri, dan bertanggung jawab terhadap barang miliknya sendiri. Semasa di kolej hampir sebagian besar tidak meminta belanja daripada ibu bapa mereka. Mereka membuat kerja part time untuk belanja sekolah dan kehidupan sehari-hari. Kalaupun kehabisan wang, mereka “meminjam” wang kepada ibu bapa mereka yang nantinya mereka memulangkan di bulan berikutnya.

10. MENJAGA TRADISI

Perkembangan teknologi dan ekonomi, tidak membuat bangsa Jepun kehilangan tradisi dan budayanya. Budaya perempuan yang sudah menikah untuk tidak bekerja masih ada dan hidup sampai sekarang. Budaya minta maaf masih menjadi budaya orang Jepang.Sehingga zaman sekarang orang Jepun relatif menghindari berkata “tidak” untuk apabila mendapat tawaran dari orang lain. Pertanian merupakan tradisi dan aset penting di Jepun. Persaingan keras kerana adanya beras Thailand dan Amerika yang murah, tidak menyurutkan langkah pemerintah Jepang untuk melindungi para petaninya.
Mungkin seperti di atas 10 resepi berjaya yang dapat dirangkumkan. Bangsa Melayu mempunyai hampir semua resepi orang Jepun diatas, hanya mungkin kita belum mengasahnya dengan baik.
Kita yakin ada faktor “kesilapan teknik” yang membuatkan kita agak ketinggalan dalam teknologi dan ekonomi. Mari kita bersama mencari solusi untuk pelbagai masalah dewasa ini. Kita juga harus tetap mahu belajar dan menerima kebaikan dari siapapun, yang baik kita ikut tapi yang buruk kita hindari.

jadi,mengapa tidak kita mencuba untuk memajukan diri demi membentuk sebuah negara demokrasi yang maju dari segenap sudut?
di mana ada kemahuan,di situ ada jalan..